Hadis

  • Tinggal sesuatu yang dibolehkan kerana khuatir jatuh kepada yang terlarang

    Daripada ‘Athiyyah bin ‘Urwah as-Sa’diyy as-Sohabiyy berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Seorang hamba tidak mencapai daripada golongan muttaqin sehingga dia meninggalkan sesuatu yang boleh kerana berhati-hati daripada perkara yang dilarang. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dan dia berkata hadis hasan)

  • Tinggalkan apa yang meragukan

    Daripada Al-Hasan bin Ali berkata: Saya menghafaz daripada Rasulullah SAW: Tinggalkan apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dan dia berkata hadis hasan sahih – ada juga dalam riwayat Ahmad – disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih al-Jami’ dan al-Irwa’)

  • Bertanya lebih lanjut untuk kepastian dan hilangkan keraguan meski terpaksa menceraikan isteri

    Daripada Abu Sirwa’ah – Uqbah bin Al-Harits, bahawa dia menikahi anak perempuan Abu Ihab bin ‘Aziz. Maka, datang seorang perempuan kepadanya dan berkata: Sesungguhnya saya pernah menyusukan Uqbah dan yang dia berkahwin dengannya (isterinya).

    Maka, Uqbah berkata kepadanya (wanita itu): Saya tidak tahu bahawa anda pernah menyusukan daku dan anda juga tidak pernah memberitahuku.

    Maka, Uqbah menunggang (haiwan tunggangannya) kepada Rasulullah SAW di Madinah, maka dia menanyakan baginda.

    Maka, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Bagaimana lagi, sedangkan ia sudah mengatakannya?

    Maka, Uqbah menceraikannya (isterinya) dan dia (bekas isterinya) berkahwin dengan orang lain. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

  • Kebaikan dan dosa

    Daripada Waabisoh bin Ma’bad berkata: Saya datang kepada Rasulullah SAW, maka baginda bertanya: Kamu datang untuk bertanya mengenai kebaikan?

    Saya berkata: Ya.

    Maka, baginda bersabda (mafhumnya): Mintalah fatwa (petunjuk) pada hatimu. Kebaikan: Apa yang menenangkan padanya (pada sesuatu itu oleh) jiwa, dan menenangkan padanya (pada sesuatu itu oleh) hati. Dan dosa: Apa yang meragukan pada jiwa, dan membimbangkan di dalam dada, walaupun orang ramai memberikan fatwa kepadamu dan membenarkanmu. (Hadis hasan diriwayatkan oleh Ahmad dan ad-Darimi dalam musnad kedua-duanya – dihasankan oleh Al-Albani dalam Sahih al-Jami’)

  • Kebaikan, dosa

    Daripada An-Nawwas bin Sam’an, daripada Nabi SAW bersabda: Kebaikan; elok akhlak, dan dosa; apa yang meragukan pada dirimu (atau jiwamu), dan kamu tidak suka orang ramai mengetahuinya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Perkataan “haaka” ( حاك ) dalam teks hadis itu diberikan maksud ragu-ragu terhadap suatu perkara.

  • Sikap berhati-hati Nabi

    Daripada Anas, bahawa Nabi SAW pernah menemui sebiji kurma di jalan, maka baginda bersabda: Jika bukan bahawa saya khuatir ianya daripada sedekah, nescaya saya memakannya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim)

  • Halal dan haram itu jelas, antara kedua-duanya syubhat

    Daripada an-Nu’man bin Basyir, berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya (perkara) halal itu jelas dan sesungguhnya (perkara) haram itu jelas. Dan antara kedua-duanya musytabihaat (perkara-perkara syubhat atau samar) tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Maka, sesiapa menjaga (dirinya daripada) perkara-perkara syubhat, dia menyelamatkan agama dan harga dirinya. Dan sesiapa terjerumus kepada perkara-perkara syubhat, dia terjerumus kepada keharaman. Seperti pengembala yang mengembala di sekitar daerah terlarang, yang hampir-hampir dia mengembala di dalamnya. Ketahuilah, dan sesungguhnya setiap raja memiliki daerah terlarang. Ketahuilah, dan sesungguhnya larangan Allah adalah perkara-perkara yang diharamkan oleh-Nya. Ketahuilah, dan sesungguhnya di dalam tubuh itu terdapat segumpal daging, apabila ia baik, baiklah pula seluruh tubuhnya, dan apabila ia rosak, rosaklah pula seluruh tubuhnya. Ketahuilah, dan ia ialah hati. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

  • Solat empat rakaat sebelum dan selepas Zuhur diharamkan dari neraka

    Daripada Ummu Habibah, daripada Nabi SAW bersabda: Sesiapa solat sebelum Zuhur empat (rakaat) dan selepasnya empat (rakaat), maka Allah mengharamkannya atas neraka.

  • Terluput empat rakaat sebelum Zuhur

    Daripada Aisyah berkata: Adalah Rasulullah SAW apabila tidak sempat mengerjakan empat rakaat sebelum Zuhur, baginda melakukannya selepas dua rakaat selepas Zuhur.

    Abu Abdullah berkata, tidak ada yang menceritakannya melainkan Qais daripada Syu’bah.

    HURAIAN

    Terjemahan dalam Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah: Jika Rasulullah tidak sempat mengerjakan empat rakaat sebelum Zuhur, beliau menggantikannya dengan dua rakaat setelah mengerjakan dua rakaat ba’diah Zuhur.

  • Empat rakaat sebelum Zuhur disukai Nabi

    Abu Bakar bin Abu Syaibah menceritakan, Jarir menceritakan, daripada Qabus, daripada bapanya, berkata: Bapaku mengutuskan seseorang untuk bertanya kepada Aisyah, solat apa yang paling disukai Rasulullah SAW untuk dijadikan sebagai kebiasaan? Dia (Aisyah) berkata: Baginda suka mengerjakan empat rakaat sebelum Zuhur, dengan memanjangkan berdiri dan memperelokkan rukuk dan sujud.