Hadis

  • Perihal orang takbur, ujub

    Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tatkala seorang lelaki berjalan dengan mengenakan jubah yang membuat dirinya ujub (kagum bercampur bangga pada diri), rambutnya tersisir rapi dan berjalan dengan takbur, tiba-tiba Allah menenggelamkannya (ke dalam bumi), maka dia terus turun dan bergoncang-goncang di dalam bumi hingga hari kiamat. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

  • Kemuliaan adalah sarung-Ku

    Daripada Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Allah Taala berfirman: Kemuliaan adalah sarung-Ku dan membesar-besarkan adalah selendang-Ku. Sesiapa yang menentang-Ku, maka Aku akan mengazabkannya. (Diriwayatkan oleh Muslim, ada juga dalam riwayat Abu Daud)

  • Tiga golongan yang Allah tidak pandang kepada mereka

    Daripada Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tiga (golongan) yang Allah tidak berbicara dengan mereka pada hari kiamat, tidak mensucikan mereka, dan tidak melihat kepada mereka, dan bagi mereka azab yang bersangatan; orang tua penzina, pemimpin pendusta, dan orang miskin takbur. (Diriwayatkan oleh Muslim)

  • Melebihkan pakaian kerana sombong

    Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Allah tidak melihat pada hari kiamat kepada sesiapa menjulurkan kain sarungnya (pakaiannya) kerana sombong ( بطرا – bathar). (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    بطرا – bathar ialah kegembiraan yang disertai dengan sedikitnya menjalankan hak nikmat dan membelanjakan tidak pada jalannya yang tepat. Bathar, khayla’, zahwu, kibru, tabakhtur, semuanya bermakna sama dan hukumnya haram. Adapun tharb ialah riang gembira. Demikian menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya.

  • Syurga, neraka berbantah

    Daripada Abu Said al-Khudri, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Syurga (al-jannah) dan neraka (an-naar) berbantah-bantah.

    Maka, neraka berkata: Para penguasa bengis dan orang-orang sombong memasukiku.

    Dan syurga berkata: Yang memasukiku adalah orang-orang lemah dan miskin.

    Maka, Allah memberikan keputusan antara kedua-duanya: Sesungguhnya engkau syurga, adalah rahmat-Ku, Aku merahmati denganmu siapa saja yang Aku kehendaki. Dan engkau neraka, adalah seksa-Ku, Aku menyeksa denganmu siapa saja yang Aku kehendaki. Dan bagi setiap kedua-dua kamu atas-Ku memenuhinya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini sebagai dalil majoriti penghuni neraka ialah penguasa yang bengis dan orang-orang sombong (takbur), sedangkan majoriti penghuni syurga adalah orang-orang lemah.

  • Orang takbur, kasar, tidak beradab penghuni neraka

    Daripada Haritsah bin Wahab berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Ketahuilah, saya mengkhabarkan kamu penghuni neraka: Setiap utul ( عُتُل – orang kasar, keras), jawwazh ( جواظ – kikir, angkuh, tidak beradab) lagi mustakbir ( مستكبر – takbur, tolak kebenaran, hina orang lain). (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

  • Makan dengan tangan kanan

    Daripada Salamah bin Al-Akwa’, bahawa seorang lelaki telah makan di sisi Rasulullah SAW dengan tangan kirinya. Maka, baginda bersabda (mafhumnya): Makanlah dengan tangan kananmu.

    Dia (lelaki itu) berkata: Saya tidak dapat.

    Baginda bersabda: Kamu tidak dapat.

    Tidak menegahnya melainkan kerana al-kibr (takbur).

    Dia (Salamah bin Al-Akwa’) berkata: Maka, dia tidak (tidak dapat) mengangkatnya (tangan kanannya) ke mulutnya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

  • Takbur tidak masuk syurga

    Daripada Abdullah bin Mas’ud, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Tidak akan masuk al-jannah (syurga) sesiapa yang dalam hatinya ada seberat zarah daripada al-kibr (takbur).

    Maka, seorang lelaki berkata (bertanya): Sesungguhnya seorang lelaki suka apabila pakaian dan sandalnya bagus?

    Baginda menjawab: Sesungguhnya Allah bagus (indah), dia suka yang bagus (keindahan). Al-kibr: menolak yang hak (kebenaran) dan meremehkan manusia. (Diriwayatkan oleh Muslim)

  • Tawaduk, terima undangan dan hadiah

    Daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Sekiranya saya diundang ke jamuan makan hidangan betis kambing atau paha kambing, nescaya saya akan menghadirinya. Dan sekiranya saya diberikan hadiah daging bahagian paha atau betis kambing, nescaya saya menerimanya. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    HURAIAN

    Disebutkan betis dan paha kambing, menggambarkan perbandingan antara kedua-duanya, yang remeh dan yang penting. Paha lebih disenangi daripada selainnya.

    Ibnu Bathal berkata: Nabi SAW memberikan isyarat dan menganjurkan untuk menerima hadiah meskipun hanya sedikit. Hal itu sebagai motivasi untuk memberikan hadiah, tidak terhalang oleh sikap memandang rendah sesuatu. Baginda menganjurkan hal ini kerana terdapat sikap harmonis.

    Hadis ini juga mengandungi anjuran untuk memenuhi undangan walaupun jamuan makanannya sedikit.

    Semua hal ini merupakan motivasi untuk bersikap tawaduk dan menjalankan apa saja yang dapat membangkitkan keharmonian dan menanam cinta kasih.

  • Sikap terhadap makanan

    Daripada Anas, bahawa Rasulullah SAW apabila telah makan makanan baginda menjilat tiga jarinya. Anas berkata, dan baginda bersabda (mafhumnya): Jika suapan antara kamu jatuh, hendaklah dia (mengambilnya lalu) buang yang kotor daripadanya dan memakannya. Janganlah dia membiarkannya untuk syaitan. Kami juga diperintahkan untuk memungut sisa makanan dalam mangkuk. Baginda bersabda (mafhumnya): Maka, sesungguhnya kamu tidak tahu makanan kamu yang mana terdapat berkat. (Diriwayatkan oleh Muslim)