Hadis

  • Anjuran bersikap ihsan

    Daripada Abu Ya’la Syaddad bin Aus, daripada Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan (sikap baik) terhadap setiap sesuatu. Maka, apabila kamu membunuh, maka bersikaplah ihsan pada pembunuhan, dan apabila kamu menyembelih, maka bersikaplah ihsan pada penyembelihan, dan tajamkan seorang daripada kamu pisaunya dan senangkanlah haiwan sembelihannya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

  • Jangan marah

    Daripada Abu Hurairah, bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: Berilah saya wasiat. Nabi bersabda (mafhumnya): Jangan kamu marah. Maka, dia mengulang-ulanginya. Baginda bersabda: Jangan marah! (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    HURAIAN

    Marah adalah kumpulan seluruh keburukan dan salah satu tiga pintu masuknya syaitan; lalai, syahwat dan marah.

    Umar bin Abdul Aziz berkata: Beruntung orang yang menjaga diri daripada hawa nafsu, marah dan tamak. – Riyadus Solihin & Penjelasannya.

  • Tiada kebaikan kerana tiada sikap kelembutan

    Daripada Jarir bin Abdullah berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa mengharamkan (menghalang) sikap lembut, dia diharamkan (terhalang) daripada kebaikan seluruhnya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini anjuran untuk bersikap lembut atau lemah lembut dalam semua urusan.

    Allah berfirman, maksudnya: Maka, disebabkan rahmat daripada Allah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentu mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. (Ali-Imran, 159)

  • Permudahkan, bukan menyusahkan

    Daripada Anas, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Kamu permudahkan, dan jangan kamu menyukarkan, dan kamu berilah khabar gembira dan jangan membuatkan orang lari. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Allah berfirman, maksudnya: Dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Al-Haj, 78)

  • Tidak menyusahkan dan merumitkan masalah

    Daripada Abu Hurairah berkata:

    بالَ أَعرَابيٌّ في المسجدِ ، فَقامَ النَّاسُ إِليهِ لِيَقَعُوا فِيهِ ، فَقالَ النَّبِيُّ : دَعُوْهُ وَأَرِيْقُوْا عَلَى بَوْلِهِ سَجْلًا مِنْ مَاءٍ ، أَوْ ذَنُوْبًا مِنْ مَاءٍ ، فَإِنَّمَا بُعِثْتُمْ مُيَسِّرِيْنَ وَلَمْ تُبْعَثُوْا مُعَثِّرِيْنَ

    (Ertinya) Seorang lelaki A’rabiyy (Arab badwi) kencing di masjid. Maka, orang-orang mendekatinya untuk mencercanya. Maka, Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Biarkan dia, dan siramlah pada air kencingnya satu timba besar air. Maka, sesungguhnya kamu diutuskan untuk memudahkan dan tidak diutuskan untuk menyusahkan. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    HURAIAN

    Perkataan as-sajl ( السَجْل ) ertinya timba berisi penuh air. Demikian juga halnya dengan adz-dzanub ( الذنوب ) dalam teks hadis itu.

    Anjuran untuk bersikap lembut dalam mengingkari suatu kemungkaran dan mengajar orang jahil.

    Najisnya air kencing manusia dan wajibnya membersihkan masjid daripada air kencing, iaitu memadai dengan menyiramkan air pada air kencing itu tanpa menggunakan batuan.

    Dalam riwayat Ibnu Majah, disebutkan: Maka, ketika orang Arab badwi itu telah memahami (tidak boleh kencing dalam masjid), dia pun berjalan mendekatiku dan berkata: Demi bapa dan ibuku, dia (Muhammad) tidak mencaci dan tidak mencela. Baginda lalu bersabda; masjid ini tidak untuk dikencing, namun ia dibangunkan untuk berzikir kepada Allah dan melaksanakan solat”. – Riyadus Solihin & Penjelasannya.

  • Keutamaan sikap lembut

    Daripada Aisyah bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya kelembutan tidaklah terdapat pada sesuatu melainkan menghiasinya (menjadikan sesuatu sempurna), dan tidak dicabut daripada sesuatu melainkan memburukkannya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Perkataan “ar-rifq” ( الرفق – kelembutan) ialah lemah lembut dalam perkataan dan perbuatan, serta mengambil sikap yang paling halus. Ia lawan daripada al-‘unfu yang bererti keras dan sukar.

    Sikap lembut akan membuatkan seseorang mencapai urusannya dengan sempurna, namun apabila sikap itu tiada dan berganti dengan sikap kasar, maka urusan menjadi tidak sempurna, sukar atau buruk.

  • Sikap lemah lembut disukai Allah

    Daripada Aisyah berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya), sesungguhnya Allah Maha Lembut, Dia suka sikap lembut dalam urusan seluruhnya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

  • Santun, sabar sifat disukai Allah

    Daripada Ibnu Abbas berkata, Rasulullah SAW bersabda kepada Asyaj Abdul Qais, sesungguhnya pada kamu ada dua sifat yang dicintai Allah, santun dan sabar. (Diriwayatkan oleh Muslim)

  • Orang terbaik akhlaknya paling dicintai Rasul dan paling hampir tempat duduknya di hari kiamat

    Daripada Jabir bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya antara kamu yang paling saya cintai dan paling hampir tempat duduk kamu dengan saya pada hari kiamat, yang paling baik kamu pada akhlak. Dan sesungguhnya yang paling saya benci kamu dan paling jauh kamu dari saya pada hari kiamat الثرثارون (ats-tsartsarun), المتشدقون (al-mutasyaddiqun), dan المتفيهقون (al-mutafaihiqun). Para sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami sudah tahu ats-tsartsarun dan al-mutasyaddiqun, tapi apakah al-mutafaihiqun? Baginda berkata: Al-mutakabbirun (orang-orang takbur). (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dan dia berkata hadis hasan)

    HURAIAN

    Perkataan “ats-tsartsar” ialah orang banyak bicara dan dibuat-buat.

    “Al-mutasyaddiq” ialah orang angkuh kepada orang lain dengan ucapannya serta berbicara dengan memfasih-fasihkan dan menyulitkan perbicaraan.

    “Al-mutafaihiq” asal katanya daripada al-fahq bererti berisi penuh, yakni orang yang memenuhi mulutnya dengan perbicaraan dan berpanjang lebar dalam perbicaraan serta berbicara tidak jelas kerana takbur dan ingin meninggikan diri dengan tujuan memperlihatkan keunggulan dirinya kepada orang lain.

  • Rumah di syurga bagi orang meninggalkan perdebatan dan dusta, serta berakhlak baik

    Daripada Umamah al-Bahiliyy berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Saya akan menjamin rumah di sekitar syurga bagi sesiapa meninggalkan perdebatan meskipun dia benar, dan rumah di tengah-tengah syurga bagi sesiapa meninggalkan dusta meskipun dia bergurau senda, dan rumah di setinggi-tinggi syurga bagi sesiapa yang baik akhlaknya. (Diriwayatkan oleh Abu Dawud dengan sanad sahih, dihasankan oleh Al-Albani dalam kitab As-Sohihah)