Hadis

  • Mati tanpa baiah seperti mati jahiliyah

    Daripada Ibnu Umar berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa melepaskan tangannya daripada ketaatan, dia bertemu Allah pada hari kiamat, sedang tiada hujah baginya, dan sesiapa mati sedang tiada pada lehernya baiah (tanpa baiah), dia mati (seperti) mati jahiliyah. (Diriwayatkan oleh Muslim)

  • Dengar dan taat

    Daripada Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Ke atasmu mendengar dan taat, pada yang menyusahkanmu dan menyenangkanmu, dan pada perkara kamu suka dan perkara yang kamu tidak suka, dan “atsarah” ( أَثَرَةٌ ) atasmu (hal yang boleh jadi merugikan kepentingan kamu). (Diriwayatkan oleh Muslim)

  • 3 penghuni syurga

    Daripada ‘Iyadh bin Himar berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Penghuni syurga tiga; pemilik kekuasaan yang adil dan disenangi, seorang yang menyayangi dan mengasihi setiap kerabat dan orang muslim, dan orang yang sangat menjaga harga diri sedangkan dia memiliki tanggungan. (Diriwayatkan oleh Muslim)

  • Tidak perangi pemimpin selagi mereka mendirikan solat

    Daripada Auf bin Malik berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik pemimpin-pemimpin kamu adalah yang kamu cintai (suka) mereka, dan mereka mencintai (suka) kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, sedangkan seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci (tak suka) mereka dan mereka membenci (tidak menyukai) kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu. Kami bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah tidak kami memerangi mereka? Baginda menjawab: Tidak, selagi mereka masih mendirikan solat bersama kamu. Tidak, selagi mereka masih mendirikan solat bersama kamu. (Diriwayatkan oleh Muslim)

  • 7 golongan mendapat naungan Allah

    Daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Tujuh yang Allah naungi di bawah naungan-Nya pada hari tidak ada naungan melainkan naungan-Nya: Pemimpin yang adil; pemuda yang membesar dalam beribadat kepada Allah Taala; lelaki yang hatinya bergantung dengan masjid-masjid; dua lelaki yang saling mengasihi kerana Allah, kedua-duanya bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah; lelaki yang diajak oleh wanita kaya lagi cantik lalu dia berkata ‘sesungguhnya saya takut kepada Allah’; seorang lelaki bersedekah dengan suatu sedekah lalu menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan (diberikan) oleh tangan kanannya; dan seorang lelaki yang berzikir kepada Allah dalam kesendirian maka berlinangan kedua-dua matanya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

  • Peringatan kepada pemimpin, sesiapa menguruskan urusan manusia agar tidak mengabaikan mereka

    Daripada Abi Maryam al-Azdiyyi, bahawa dia berkata kepada Muawiyah: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa yang Allah menguasakan kepadanya untuk menguruskan suatu urusan daripada urusan-urusan Muslimin (orang Islam), maka dia mengabaikan keperluan, kemiskinan dan kefakiran, Allah akan mengabaikan keperluan, kemiskinan dan kefakiran mereka kelak pada hari kiamat. Maka, Muawiyah menugaskan seseorang untuk menguruskan keperluan-keperluan manusia. (Diriwayatkan oleh Abu Dawud & at-Tirmidzi)

  • Peringatan agar tidak jadi seperti huthamah

    Daripada ‘Aidz ( عائذ ) bin Amru, bahawa dia masuk ke atas (bertemu dengan) Ubaidullah bin Ziyad, maka berkata kepadanya: Wahai anakku, bahawa saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya seburuk-buruk pengembala adalah al-Huthamah, maka janganlah kamu menjadi bahagian daripada mereka. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, huthamah ( الحطمة ) ialah pengembala yang kejam terhadap ternaknya – ini adalah pemisalan untuk pemimpin jahat yang tidak berbelas kasih dan menyayangi rakyatnya.

  • Bani Israil dipimpin nabi, kepimpinan dan kepatuhan

    Daripada Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW bersabda: Adalah Bani Israil (dahulu) dipimpin oleh para nabi, setiap kali seorang meninggal digantikannya dengan seorang nabi (nabi lain selepasnya), dan sesungguhnya tiada lagi nabi selepasku, dan yang akan ada selepasku para khalifah (pengganti) maka mereka ramai. Para sahabat berkata (bertanya): Wahai Rasulullah, maka apakah yang anda perintahkan pada kami? Baginda bersabda (menjawab, mafhumnya): Tunaikan (patuhi) oleh kamu dengan baiah pertama, maka yang pertama, kemudian berikanlah mereka hak mereka, dan mintalah kepada Allah yang (menjadi hak) bagi kamu, maka sesungguhnya Allah meminta tanggungjawab mereka mengenai kepimpinan mereka. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, teks itu antaranya diterjemahkan: “…namun yang ada adalah para khalifah yang mereka akan banyak berbuat dosa. Para sahabat bertanya: wahai Rasulullah, apa yang anda perintahkan untuk kami jika itu terjadi? Beliau menjawab; penuhilah baiat yang pertama, kemudian yang sesudah itu…”

    Baiah ialah janji setia atau taat setia.

  • Minbar daripada cahaya kepada orang yang adil

    Daripada Abdullah bin Amru bin al-As berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang-orang yang adil di sisi Allah di atas minbar-minbar daripada nur (cahaya), (yakni) orang-orang yang berbuat adil pada hukum mereka, ahli mereka dan apa yang dibebankan kepada mereka.(Diriwayatkan oleh Muslim, ada juga dalam riwayat Ahmad dan Nasai)

    HURAIAN

    Hadis ini menunjukkan ganjaran kepada orang-orang yang adil sama ada pada hukum yang diberikan yakni dalam menentukan atau memutuskan keputusan dalam sesuatu perkara; ahli mereka (orang bawah tanggungannya, orang bawah naungannya), dan yang dibebankan kepadanya iaitu apa yang dipertanggungjawabkan kepadanya dalam sesuatu urusan.

  • Doa Nabi kepada pemimpin menyusahkan dan membantu rakyat

    Daripada Aisyah, berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda di rumah saya, ini: Wahai Allah! Sesiapa menguruskan suatu urusan umatku, lalu dia menyusahkan ke atas mereka, maka susahkan atasnya, dan sesiapa menguruskan suatu urusan umatku, lalu dia menolong mereka, maka tolonglah dengannya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini sebagai dalil perintah bagi para pemimpin umat untuk berusaha menegakkan kemaslahatan rakyat dan bersungguh-sungguh dalam menjauhi segala hal yang membahayakan mereka dan yang menyusahkan mereka, sama ada berbentuk perkataan mahupun perbuatan dan tidak mengabaikan keadaan mereka.