Hadis

  • Pemimpin tipu rakyat diharamkan syurga ke atasnya

    Daripada Abu Ya’la Ma’qil bin Yasar berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tidaklah seorang hamba yang diberikan tanggungjawab (kuasa) untuk memimpin rakyat, dia mati pada hari dia mati sedang dia menipu rakyatnya, melainkan Allah mengharamkan ke atasnya syurga. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

  • Jangan buat orang lari apabila mengimamkan solat

    Daripada Abu Mas’ud Uqbah bin Amru al-Badriyy berkata: Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW, maka berkata: “Saya melambatkan dari solat Subuh kerana polan memanjangkan (solat) dengan kami.” Maka, saya tidak pernah melihat Nabi SAW marah dalam suatu nasihat daripada kemarahannya pada waktu itu. Maka, baginda bersabda: “Wahai manusia, sesungguhnya antara kamu ada yang membuatkan orang lain lari, maka siapa saja antara kamu mengimamkan orang lain hendaklah dia meringankannya, maka sesungguhnya (sebab) di belakangnya ada orang tua, anak kecil dan orang mempunyai hajat. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)

  • Anjuran terus menghubungkan kerabat

    Daripada Abu Hurairah: Bahawa seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah, saya mempunyai kerabat yang saya menghubunginya dan mereka memutuskan (hubungan dengan) saya, dan saya berbuat baik kepada mereka dan mereka menyakiti kepada saya, dan saya santuni mereka dan mereka berbuat jahil ke atas saya. Maka, baginda bersabda: Sekiranya anda adalah sebagaimana yang anda kata, maka seolah anda membuat wajah mereka berwarna seperti abu panas, dan sentiasa bersama anda (pertolongan) daripada Allah Taala dalam menghadapi mereka selama anda berbuat demikian. (Diriwayatkan oleh Muslim)

  • Orang kuat dapat tahan diri ketika marah

    Daripada Abu Hurairah: Bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Orang kuat bukanlah dengan berkelahi, sesungguhnya orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya (nafsunya) ketika marah. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Perkataan as-sur’ah ( الصُرعَة ) dalam teks hadis itu ialah orang berkelahi dengan orang lain dan menang. Maksudnya orang kuat yang terpuji itu bukanlah orang yang menang berkelahi dengan orang lain. Namun yang terpuji adalah orang yang dapat mengalahkan nafsunya dan menahannya ketika sedang marah – menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Mudah difahami di sini ialah orang kuat ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.

  • Pemaaf dan sabarnya nabi Allah

    Daripada Ibnu Mas’ud berkata: Seolah-olah (Saya rasa) saya lihat Rasulullah SAW sedang menceritakan mengenai seorang daripada kalangan nabi, solawatullahi wa salamuhu alaihim, dipukul oleh kaumnya sampai berdarah, dan dia mengusap darah yang mengalir dari wajahnya dan berkata (berdoa): Wahai Allah, ampunkanlah kaumku, kerana mereka belum mengetahui. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

  • Mulianya akhlak Nabi SAW

    Daripada Anas bin Malik berkata: Adalah saya berjalan bersama Rasulullah SAW yang ketika itu baginda mengenakan selendang buatan Najran yang tebal dan kasar bahagian tepinya. Tiba-tiba seorang Arab badwi datang, lalu menarik selendang baginda dengan tarikan yang keras. Sehingga saya melihat permukaan bahu Nabi SAW berbekas oleh tepi selendang akibat tarikannya yang keras. Kemudian dia (orang Arab badwi itu) berkata: Wahai Muhammad, perintahkanlah agar aku diberikan harta Allah yang ada padamu! Rasulullah pun menoleh kepada orang Arab badwi itu dan tertawa, kemudian memerintahkan agar memberinya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Hadis menerangkan keunggulan akhlak baik Nabi SAW dan kesabaran baginda terhadap adab buruk seorang Arab badwi yang berperangai kasar. Lebih daripada itu, ditambah dengan pemberian harta kepada orang terbabit.

  • Sikap pemaaf, penyabar Nabi SAW

    Daripada Aisyah berkata: Rasulullah SAW tidak pernah sama sekali memukul sesuatu dengan tangannya, tidak juga seorang wanita mahupun pelayan (yang berkhidmat), melainkan ketika berjihad di jalan Allah. Baginda tidak pernah dicaci lalu membalas pelakunya sedikit pun, melainkan jika larangan-larangan Allah dilanggar, maka baginda membalasnya semata-mata kerana Allah Taala. (Diriwayatkan oleh Muslim, ada juga dalam riwayat Ahmad)

    HURAIAN

    Hadis ini menerangkan bagusnya akhlak Nabi SAW serta kesantunan, kesabaran dan sikap memaaf baginda SAW.

    Allah SWT berfirman, maksudnya: Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada (diri) Rasulullah contoh ikutan yang baik. (Al-Ahzab, 21)

  • Hari Nabi mengalami peristiwa didatangi Malakul Jibal sedia menuruti perintah baginda

    Daripada Aisyah bahawa dia berkata (bertanya) kepada Nabi SAW: Adakah datang kepada anda (adakah anda pernah mengalami) suatu hari (peristiwa) yang lebih berat dari hari Uhud?

    Baginda bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya, saya sering mengalami peristiwa dari kaum anda. Dan peristiwa yang lebih berat yang pernah saya alami dalam menghadapi mereka adalah hari (peristiwa) al-‘Aqabah, iaitu ketika saya menawarkan diri saya kepada Ibnu Abdi Yalil bin Abdu Kulal (agar membantu saya), maka dia dia tidak mahu memenuhi keinginan saya.

    Maka, saya pun pergi dengan wajah gelisah dan saya tidak tenang melainkan ketika berada di Qarnu Tsa’alib (Qarnu al-Manazil). Maka, saya mendongakkan kepala saya, ternyata saya berada di bawah awan yang menaungi saya.
    Maka, saya memandang (ke arah sana) dan ternyata ada malaikat Jibril (Alaihissalam), maka dia berseru kepada saya, maka berkata “sesungguhnya Allah Taala telah mendengar ucapan kaummu kepadamu dan apa yang mereka timpakan kepadamu, dan Allah telah mengutuskan kepadamu malakul jibal (malaikat bukit atau gunung) yang sedia engkau perintahkan apa saja sesuai kehendakmu terhadap mereka.”

    Maka, malaikat bukit berseru kepada saya dan memberi salam ke atas saya, kemudian dia berkata “wahai Muhammad, sesungguhnya Allah telah mendengar ucapan kaummu kepadamu dan aku malakul jibal. Dan sesungguhnya Tuhanku mengutusku kepadamu supaya kamu menyuruhku dengan perintahmu dan apa sekehendakmu. Jika kamu kehendaki, aku timpakan kepada mereka dua gunung (yang mengelilingi kota Makkah) ini.”

    Maka, Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Sebaliknya, saya berharap agar Allah memunculkan daripada anak keturunan mereka orang yang hanya menyembah Allah semata-mata dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Ketika Abu Talib meninggal dunia, Nabi SAW berangkat menuju Taif dan meminta agar penduduk Taif memberikan perlindungan kepada baginda sehingga dapat menyampaikan risalah Rabbnya. Namun penduduk Taif menolak baginda dengan penolakan yang sangat buruk. Akhirnya baginda pulang dalam keadaan gelisah kerana permintaan baginda kepada mereka tidak dipenuhi. Baginda tidak berasa tenang hingga berada di Qarnu Tsa’alib atau Qarnul Manazil, yang merupakan miqat penduduk Najd.

    Hadis ini menerangkan kasih sayangnya Nabi SAW terhadap kaumnya dan sikap pemaaf baginda kepada mereka, juga keunggulan kesabaran dan kesantunan baginda.

    Firman Allah bermaksud: Dan tidaklah Kami utuskan kamu melainkan rahmat bagi sekian alam. (Al-Anbiya, 107)

    Firman-Nya bermaksud: “Maka disebabkan rahmat daripada Allah, kamu bersikap lembut terhadap mereka. (Ali-Imran, 159)

  • Orang yang diharamkan dari neraka

    Daripada Ibnu Mas’ud berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Ketahuilah, saya beritahu kamu orang yang diharamkan dari neraka, atau orang yang neraka haramkan ke atasnya. Ia (neraka) haramkan atas setiap orang yang rapat (karib, kerabat, saudara-mara) yang baik hati (tenang), lemah lembut dan mudah. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis hasan)

  • Memilih yang mudah selagi tidak membabitkan dosa

    Daripada Aisyah berkata: Rasulullah SAW tidak pernah diberikan pilihan antara dua perkara melainkan baginda mengambil yang paling mudah (ringan) antara kedua-duanya, selagi bukan perkara dosa. Maka, sekiranya termasuk perkara dosa, baginda adalah orang yang paling jauh darinya. Dan tidak pernah sama sekali Rasulullah membalas (membenci, marah, menghukum) sesuatu kerana kepentingan peribadi, melainkan jika kehormatan (kesucian) Allah dinodai, maka baginda akan membalasnya (membenci, marah, menghukum) kerana Allah Taala. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)