Hadis

  • Apabila Allah menghendaki kebaikan pemimpin, dijadikan wazir yang benar, jujur

    Daripada Aisyah berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Apabila Allah menghendaki kebaikan pada seorang pemimpin, Dia menjadikan baginya wazir ( وَزِيْر – pembantu/menteri) yang benar (sidq – صِدْق ), jika dia lupa (pembantu) mengingatkannya dan jika dia ingat (pembantu) membantunya. Dan apabila dikehendaki dengannya selain itu, dijadikan baginya wazir (pembantu/menteri) yang jahat, jika dia lupa (pembantu itu) tidak mengingatkannya, dan jika dia ingat (pembantu) tidak membantunya. (Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Nasai)

  • Abu Dzar dan kepimpinan

    Daripada Abu Dzar berkata: Rasulullah SAW berkata kepadaku; wahai Abu Dzar, sesungguhnya saya melihat anda lemah, dan saya menginginkan bagi anda seperti yang saya inginkan untuk diri saya. Janganlah anda memerintah antara dua orang dan janganlah anda menguruskan harta anak yatim. (Diriwayatkan oleh Muslim)

  • Usah merendahkan, menghina pemimpin

    Daripada Abu Bakrah berkata: Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa merendahkan pemimpin ( السُلْطَان ), Allah merendahkannya. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis hasan, juga diriawaytakan oleh Ahmad)

  • Bersabar hadapi pemimpin

    Daripada Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa membenci (tidak suka) sesuatu daripada pemimpinnya, maka hendaklah dia bersabar. Maka, sesiapa yang keluar daripada kepemimpinan ( السُلْطَان ) sejengkal ( شِبْرًا ), dia mati seperti mati jahiliyah. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Nasai)

  • Taat Allah, rasul dan pemerintah

    Daripada Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa mentaatiku maka dia telah mentaati Allah, sesiapa menderhakaiku maka dia telah menderhakai Allah, dan sesiapa mentaati pemerintah maka dia telah mentaatiku, dan sesiapa menderhakai pemerintah maka dia telah menderhakaiku. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)

  • Tunaikanlah hak atas kamu

    Daripada Abdullah bin Mas’ud berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya akan ada selepasku “atsarah” ( أَثَرَةٌ ) dan perkara-perkara yang tidak kamu sukai.

    Mereka (sahabat) berkata: Wahai Rasulullah, bagaimana anda perintahkan kepada orang-orang di antara kami yang mengalami hal itu?

    Baginda menjawab: Tunaikanlah hak atas kamu, dan mintalah kamu kepada Allah bagi kamu (hak kamu). (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi)

    HURAIAN

    Atsarah ( أَثَرَةٌ )- ialah monopoli penguasa terhadap harta orang yang lebih berhak mendapatkannya. Peristiwa ini sudah nyata berlaku dan ini termasuk dalam mukjizat Nabi SAW – Riyadus Solihin & Penjelasannya.

  • Dengar dan taat kepada pemimpin

    Daripada Abu Hunaidah Wail bin Hujr berkata: Salamah bin Yazid al-Ju’fiyy bertanya kepada Rasulullah SAW, maka dia berkata: Wahai Nabi Allah, bagaimana pendapat anda, sekiranya penguasa-penguasa yang memimpin kami menuntut hak mereka atas kami, dan mereka menahan hak kami. Maka, apakah yang anda perintahkan kepada kami?

    Maka, baginda berpaling darinya. Kemudian, dia bertanya lagi kepada baginda.

    Maka, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Dengar dan taatlah oleh kamu. Maka, sesungguhnya atas mereka apa dipertanggungjawabkan, dan atas kamu apa dipertanggungjawabkan. (Diriwayatkan oleh Muslim)

  • Dengar dan taat, melainkan pada hal dosa

    Daripada Ibnu Umar, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Ke atas seorang muslim mendengar dan taat pada apa yang dia suka dan tidak suka, kecuali disuruh dengan hal dosa (maksiat), maka jika disuruh dengan perkara dosa (maksiat), maka tiada mendengar dan tiada taat. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan at-Tirmidzi)

  • Dengar dan taat meski yang memimpin hamba Habasyi

    Daripada Anas berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Dengar dan taatlah kamu, meski yang memimpin kamu seorang hamba Habasyi, seolah-olah kepalanya buah kismis. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

  • Dengar dan taat semampumu

    Daripada Ibnu Umar berkata: Adalah kami apabila kami berbaiah kepada Rasulullah SAW atas mendengar dan taat, baginda berkata kepada kami: Pada apa kemampuan kamu. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)