Hadis

  • Di rumah Nabi bantu keluarga

    Daripada Al-Aswad bin Yazid berkata: Saya bertanya Aisyah, apakah yang dilakukan Nabi SAW di rumahnya? Dia (Aisyah) berkata: Adalah baginda dengan kerja keluarganya – yakni berkhidmat kepada keluarganya – Maka apabila tiba (waktu) solat, baginda keluar kepada solat. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    HURAIAN

    Mengenai hal ini, di beberapa riwayat disebutkan lebih terperinci lagi, iaitu di rumah baginda biasa membantu keluarganya mencuci pakaiannya, memerah susu kambing, menampal pakaiannya, membaiki sandalnya, mengurus dirinya sendiri, menyiapkan makan dan minumnya, mengikat unta, makan bersama pelayan, membawa barang dagangannya ke pasar. Semua ini menunjukkan kelebihan, keutamaan dan kesempurnaan tawaduk baginda SAW – menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya.

  • Salam kepada kanak-kanak

    Daripada Anas bin Malik bahawa dia pernah bertemu dengan anak-anak kecil, maka dia memberikan salam ke atas mereka, dan dia berkata: Adalah Nabi SAW melakukannya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini mengajarkan teladan untuk mendidik anak-anak dengan adab syariat, serta membuang jauh kesombongan. Ia juga melatih bersikap tawaduk atau merendah diri.

  • Nabi bersikap tawaduk

    Daripada Abu Hurairah berkata:

    إن كانَتْ الأَمَةُ مِنْ إِمَاءِ المّدينَةِ لَتَأْخُذُ بِيَدِ النَّبِيِّ فَتَنْطَلِقُ بِهِ حَيْثُ شَائَتْ

    (Ertinya) Sekiranya seorang hamba wanita daripada kalangan hamba wanita Madinah memegang tangan Nabi SAW, maka dia memimpinnya ke mana sahaja yang dia inginkan.

    HURAIAN

    Hadis ini menggambarkan betapa tawaduknya Nabi dan dorongan untuk bersikap tawaduk.

  • Sedekah, pemaaf dan tawaduk

    Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tidaklah sedekah mengurangkan daripada harta, dan tidaklah Allah menambahkan kepada seorang hamba dengan sifat pemaafnya melainkan kemuliaan, dan tidaklah bersikap tawaduk seorang kerana Allah melainkan diangkatnya (darjat) oleh Allah. (Diriwayatkan oleh Muslim)

  • Bersikap tawaduk, tidak bangga diri dan tidak menindas orang lain

    Daripada ‘Iyadh bin Himar berkata, Rasulullah SAW bersabda:

    إن الله أوحى إلي أن تواضعوا حتي لا يفخر أحد علي أحد ولا يبغي أحد علي أحد

    (Mafhumnya): Sesungguhnya Allah mewahyukan kepadaku agar kamu semua bersikap tawaduk hingga tiada seorang membanggakan dirinya atas orang lain dan tiada seorang menindas atas yang lain. (Diriwayatkan oleh Muslim)

  • Termasuk sebaik-baik kehidupan manusia

    Daripada Abu Hurairah, daripada Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda (mafhumnya): Termasuk sebaik-baik kehidupan manusia adalah seorang lelaki yang memegang tali kekang kudanya untuk berjuang di jalan Allah. Dia segera melompat ke atas punggung kudanya setiap kali mendengar suara musuh yang menakutkan atau sangat mengerikan. Dia melompat ke atas punggung kudanya untuk mencari al-qatl (jihad perang) atau maut di tempat yang mungkin berlaku (atau yang diharapkan). Atau seorang lelaki yang berada dalam kumpulan kambing di puncak bukit atau berada di tengah-tengah lembah ini, dia mendirikan solat, menunaikan zakat, dan beribadat kepada Rabbnya (Tuhannya) hingga menemui ajalnya. Tidaklah dia menjadi manusia melainkan dalam kebaikan. (Diriwayatkan oleh Muslim)

  • Nabi gembala kambing

    Daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Allah tidak mengutuskan seorang nabi melainkan dia menggembalakan kambing. Maka, sahabat-sahabatnya berkata: Dan anda? Rasulullah bersabda: Ya, adalah saya menggembalakannya dengan (upah) beberapa qirath bagi (milik) penduduk Makkah. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    HURAIAN

    Maksud qirath ialah kepingan wang dinar dan dirham.

    Hadis ini menggambarkan sifat tawaduk Nabi SAW dan pengakuan baginda terhadap nikmat Allah. Adapun hikmah daripada kebiasaan para nabi yang menggembala kambing ialah agar dengan itu mereka terlatih dalam memimpin umat.

  • Demi memelihara agama

    Daripada Abu Said al-Khudri berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Hampir saja tiba (suatu zaman) harta seorang muslim yang paling baik ialah kambing yang digembalakannya di puncak gunung, dan tempat-tempat terpencil, dia pergi dengan membawa agamanya, kerana takut terkena fitnah. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

  • Manusia paling utama

    Daripada Abu Said al-Khudri berkata: Seorang lelaki berkata (bertanya): Siapakah manusia paling afdal (utama), wahai Rasulullah?

    Baginda bersabda (mafhumnya): Seorang mukmin yang berjihad dengan dirinya (jiwanya) dan hartanya di jalan Allah.

    Dia (lelaki itu) berkata (bertanya lagi): Kemudian, siapa?

    Baginda bersabda (mafhumnya): Kemudian seorang lelaki yang beruzlah di suatu bukit untuk beribadat kepada Rabbnya (Tuhannya).
    Dalam riwayat lain disebutkan “untuk menjalankan ketakwaan kepada Allah dan meninggalkan manusia kerana keburukannya (manusia)”. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

  • Allah suka hambanya bertakwa

    Daripada Saad bin Abi Waqas berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya Allah suka (cinta) seorang hamba yang bertakwa, kaya, lagi tidak terkenal. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Kaya ( الغني ) dalam teks itu dimaksudkan sebagai kaya jiwa, sebagaimana disebutkan dalam hadis sahih – menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Tidak terkenal ( الخَفِيّ ) ialah orang yang tidak terkenal serta sibuk dalam urusan beribadat kepada Rabbnya (Tuhannya) dalam urusan peribadinya. – menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya.