Hadis

  • Kemuliaan dan sikap terpuji Rasulullah SAW

    Daripada Anas berkata: Saya tidak pernah menyentuh dibaj (jenis kain sutera unggul) atau harir (jenis sutera lain) yang lebih lembut daripada tapak tangan Rasulullah SAW dan saya tidak pernah mencium suatu bau pun yang lebih harum daripada bau (keringat) Rasulullah SAW. Dan sesungguhnya, saya pernah berkhidmat (menjadi pelayan) kepada Rasulullah SAW selama sepuluh tahun, dan baginda belum pernah mengatakan kepada saya ‘ah’ dan tidak mengkritik sesuatu yang saya lakukan ‘kenapa anda melakukannya’ dan tidak (juga mengkritik) bagi sesuatu yang tidak saya lakukannya ‘kenapa tidak anda buat begini’. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 449.

  • Rasulullah sebaik-baik manusia pada akhlaknya

    Daripada Anas berkata: Adalah Rasulullah SAW sebaik-baik manusia pada akhlaknya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 448.

  • Balasan orang membesar-besarkan diri

    Daripada Salamah bin Al-Akwa’ berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Seorang lelaki terus-menerus membesar-besarkan dirinya (takbur) hingga dia ditulis dalam golongan al-jabbarin (orang-orang zalim, dan takbur), maka ditimpakan ke atasnya sebagaimana yang menimpa mereka. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dan dia berkata hadis hasan)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 447.

  • Perihal orang takbur, ujub

    Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tatkala seorang lelaki berjalan dengan mengenakan jubah yang membuat dirinya ujub (kagum bercampur bangga pada diri), rambutnya tersisir rapi dan berjalan dengan takbur, tiba-tiba Allah menenggelamkannya (ke dalam bumi), maka dia terus turun dan bergoncang-goncang di dalam bumi hingga hari kiamat. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 447.

  • Kemuliaan adalah sarung-Ku

    Daripada Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Allah Taala berfirman: Kemuliaan adalah sarung-Ku dan membesar-besarkan adalah selendang-Ku. Sesiapa yang menentang-Ku, maka Aku akan mengazabkannya. (Diriwayatkan oleh Muslim, ada juga dalam riwayat Abu Daud)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 446.

  • Tiga golongan yang Allah tidak pandang kepada mereka

    Daripada Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tiga (golongan) yang Allah tidak berbicara dengan mereka pada hari kiamat, tidak mensucikan mereka, dan tidak melihat kepada mereka, dan bagi mereka azab yang bersangatan; orang tua penzina, pemimpin pendusta, dan orang miskin takbur. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 446.

  • Melebihkan pakaian kerana sombong

    Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Allah tidak melihat pada hari kiamat kepada sesiapa menjulurkan kain sarungnya (pakaiannya) kerana sombong ( بطرا – bathar). (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    بطرا – bathar ialah kegembiraan yang disertai dengan sedikitnya menjalankan hak nikmat dan membelanjakan tidak pada jalannya yang tepat. Bathar, khayla’, zahwu, kibru, tabakhtur, semuanya bermakna sama dan hukumnya haram. Adapun tharb ialah riang gembira. Demikian menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 446.

  • Syurga, neraka berbantah

    Daripada Abu Said al-Khudri, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Syurga (al-jannah) dan neraka (an-naar) berbantah-bantah.

    Maka, neraka berkata: Para penguasa bengis dan orang-orang sombong memasukiku.

    Dan syurga berkata: Yang memasukiku adalah orang-orang lemah dan miskin.

    Maka, Allah memberikan keputusan antara kedua-duanya: Sesungguhnya engkau syurga, adalah rahmat-Ku, Aku merahmati denganmu siapa saja yang Aku kehendaki. Dan engkau neraka, adalah seksa-Ku, Aku menyeksa denganmu siapa saja yang Aku kehendaki. Dan bagi setiap kedua-dua kamu atas-Ku memenuhinya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini sebagai dalil majoriti penghuni neraka ialah penguasa yang bengis dan orang-orang sombong (takbur), sedangkan majoriti penghuni syurga adalah orang-orang lemah.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 445.

  • Orang takbur, kasar, tidak beradab penghuni neraka

    Daripada Haritsah bin Wahab berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Ketahuilah, saya mengkhabarkan kamu penghuni neraka: Setiap utul ( عُتُل – orang kasar, keras), jawwazh ( جواظ – kikir, angkuh, tidak beradab) lagi mustakbir ( مستكبر – takbur, tolak kebenaran, hina orang lain). (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 445.

  • Makan dengan tangan kanan

    Daripada Salamah bin Al-Akwa’, bahawa seorang lelaki telah makan di sisi Rasulullah SAW dengan tangan kirinya. Maka, baginda bersabda (mafhumnya): Makanlah dengan tangan kananmu.

    Dia (lelaki itu) berkata: Saya tidak dapat.

    Baginda bersabda: Kamu tidak dapat.

    Tidak menegahnya melainkan kerana al-kibr (takbur).

    Dia (Salamah bin Al-Akwa’) berkata: Maka, dia tidak (tidak dapat) mengangkatnya (tangan kanannya) ke mulutnya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 444.