Hadis

  • Sempurnakan, rapatkan saf

    Daripada Jabir bin Samurah as-Suwaa_iyyi berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Apakah (mengapa) tidak kamu membuat barisan solat sebagaimana barisan para malaikat di hadapan Rabbnya? Dia (Jabir) berkata: Kami berkata (bertanya), dan bagaimana para malaikat membuat barisan di hadapan Rabbnya? Baginda berkata (menjawab): Mereka menyempurnakan saf-saf awal dan rapat dalam saf.

    Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 168.

  • Meringankan solat kerana ambil kira kepentingan makmum

    Daripada Qatadah daripada Anas bin Malik berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya); bahawa saya masuk (mengerjakan) solat, dan saya hendak memanjangkannya, maka saya terdengar tangisan anak kecil, maka saya meringankan pada solat saya, daripada apa yang saya sedari kerana ada (kepayahan, keberatan, kegundahan hati) ibunya dengan tangisannya (bayinya).

    Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 168.

  • Mengimamkan solat jangan sampai mewujudkan fitnah

    Daripada Jabir berkata: Muadz bin Jabal al-Ansori melaksanakan solat Isyak bersama sahabat-sahabatnya, dia memanjangkan solat, maka seorang lelaki daripada kami keluar dan dia solat (sendirian). Maka, diberitahu kepada Muadz mengenainya (lelaki itu), maka dia (Muadz) berkata “sesungguhnya dia munafik”. Ketika mana yang demikian itu (ucapan Muadz itu) sampai kepada lelaki terbabit, dia datang kepada Rasulullah SAW, maka dia memberitahu baginda apa yang diucapkan oleh Muadz terhadapnya. Maka, Nabi SAW bersabda: Apakah engkau hendak menjadikan fitnah, wahai Muadz! Apabila kamu bersolat dengan orang ramai, maka bacalah dengan “Wasysyamsi wa dhuha ha”, “Sabbihisma rabbikal a’la”, “wallaili idza yaghsya”, dan “Iqra bismirabbika”.

    Sumber: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 167.

  • Ringan solat namun tetap sempurna

    Daripada Anas bin Malik, dia berkata: Rasulullah SAW meringankan dan menyempurnakan solat.

    Sumber: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 167.

  • Meringankan solat

    Daripada Abu Mas’ud, dia berkata: Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW, maka dia berkata; wahai Rasulullah, sesungguhnya saya melambatkan menghadiri solat Subuh kerana polan panjang dalam bacaannya. Dia (Abu Mas’ud) berkata: Maka saya tidak pernah lihat Rasulullah SAW memberikan nasihat dengan kemarahan sebagaimana hari itu, maka baginda bersabda; wahai manusia sekalian! Sesungguhnya antara kamu ada orang-orang yang menjadikan manusia lari! Maka, siapa saja daripada kamu solat bersama orang ramai hendaklah meringankan solatnya. Maka, sesungguhnya dalam kalangan mereka ada orang lemah, orang tua dan orang yang mempunyai keperluan.

    Sumber: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 166.

  • Orang yang berhak jadi imam

    Daripada Malik bin al-Huwairits berkata: Saya datang kepada Nabi SAW, saya dan teman saya, maka ketika kami hendak pergi (beredar), baginda bersabda kepada kami; jika waktu solat tiba, maka azan dan iqamatlah kamu, dan hendaklah yang lebih besar (tua) daripada kamu menjadi imam.

    Sumber: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 164/165.

  • Seruan agar berinfak

    Daripada Abu Hurairah (RA), dia berkata, Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Allah Taala berfirman: Berinfaklah wahai anak Adam, nescaya diinfakkan (diberi nafkah) atasmu. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    HURAIAN

    Infak yang terpuji adalah infak pada ketaatan, demikian juga pada keluarga dan tamu.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 400

  • Dua malaikat turun dan berkata

    Daripada Abu Hurairah (RA), dia berkata, Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Tidaklah dari suatu hari seorang hamba berpagi-pagi padanya, kecuali ada dua malaikat turun. Maka, satu daripada kedua-duanya berkata: Wahai Allah, berikanlah ganti kepada orang yang berinfak. Dan berkata yang satu lagi: Wahai Allah, berikanlah kehancuran bagi orang yang menahan (tidak menginfakkan hartanya). (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 400

  • Rasulullah tidak kata tidak apabila diminta sesuatu

    Daripada Jabir (RA), dia berkata: Tidak pernah diminta kepada Rasulullah (SAW) sesuatu, maka baginda berkata: Tidak. (Muttafaq alaih – Diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 400

  • Harta kamu apa yang kamu belanjakan

    Daripada Ibnu Mas’ud (RA), dia berkata Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Siapakah antara kamu yang harta pewarisnya lebih dia cintai daripada hartanya sendiri? Mereka menjawab: Wahai Rasulullah! Tidak ada antara kami seorang pun melainkan hartanya lebih dia cintai terhadapnya. Baginda bersabda: Maka, sesungguhnya hartanya adalah yang dia persembahkan (dengan berinfak, belanja), sedangkan harta pewarisnya apa yang dia tinggalkan. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    HURAIAN

    Hadis ini secara tidak langsung mengingatkan kita agar menggunakan atau membelanjakan harta pada jalan kebaikan agar harta itu memberikan manfaat kepada kita.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 399.