Hadis

  • Santun, sabar sifat disukai Allah

    Daripada Ibnu Abbas berkata, Rasulullah SAW bersabda kepada Asyaj Abdul Qais, sesungguhnya pada kamu ada dua sifat yang dicintai Allah, santun dan sabar. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 454.

  • Orang terbaik akhlaknya paling dicintai Rasul dan paling hampir tempat duduknya di hari kiamat

    Daripada Jabir bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya antara kamu yang paling saya cintai dan paling hampir tempat duduk kamu dengan saya pada hari kiamat, yang paling baik kamu pada akhlak. Dan sesungguhnya yang paling saya benci kamu dan paling jauh kamu dari saya pada hari kiamat الثرثارون (ats-tsartsarun), المتشدقون (al-mutasyaddiqun), dan المتفيهقون (al-mutafaihiqun). Para sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami sudah tahu ats-tsartsarun dan al-mutasyaddiqun, tapi apakah al-mutafaihiqun? Baginda berkata: Al-mutakabbirun (orang-orang takbur). (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dan dia berkata hadis hasan)

    HURAIAN

    Perkataan “ats-tsartsar” ialah orang banyak bicara dan dibuat-buat.

    “Al-mutasyaddiq” ialah orang angkuh kepada orang lain dengan ucapannya serta berbicara dengan memfasih-fasihkan dan menyulitkan perbicaraan.

    “Al-mutafaihiq” asal katanya daripada al-fahq bererti berisi penuh, yakni orang yang memenuhi mulutnya dengan perbicaraan dan berpanjang lebar dalam perbicaraan serta berbicara tidak jelas kerana takbur dan ingin meninggikan diri dengan tujuan memperlihatkan keunggulan dirinya kepada orang lain.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 452.

  • Rumah di syurga bagi orang meninggalkan perdebatan dan dusta, serta berakhlak baik

    Daripada Umamah al-Bahiliyy berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Saya akan menjamin rumah di sekitar syurga bagi sesiapa meninggalkan perdebatan meskipun dia benar, dan rumah di tengah-tengah syurga bagi sesiapa meninggalkan dusta meskipun dia bergurau senda, dan rumah di setinggi-tinggi syurga bagi sesiapa yang baik akhlaknya. (Diriwayatkan oleh Abu Dawud dengan sanad sahih, dihasankan oleh Al-Albani dalam kitab As-Sohihah)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 451/452.

  • Darjat akhlak baik seperti orang berpuasa yang melakukan qiam

    Daripada Aisyah berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya seorang mukmin akan mendapat dengan akhlak baiknya darjat (kedudukan) orang berpuasa lagi melakukan qiam (solat malam). (Diriwayatkan oleh Abu Dawud, disahihkan oleh Al-Albani dalam As-sohihah)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 451.

  • Mukminin paling sempurna iman

    Daripada Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Mukminin yang paling sempurna keimanan ialah yang terbaik mereka pada akhlak. Dan sebaik-baik kamu yang terbaik terhadap wanita-wanita mereka. (Diriwayatkan oleh Tirmidzi dan dia berkata hadis hasan sahih, diriwayatkan oleh Ahmad – disahihkan oleh Al-Albani dalam kitab As-Sohihah dan Sohih Al-Jami’)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 451.

  • Dua perkara paling banyak memasukkan manusia ke dalam syurga, neraka

    Daripada Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW ditanya mengenai sesuatu yang paling banyak memasukkan manusia ke dalam syurga. Baginda menjawab (mafhumnya): “Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik.” Dan baginda ditanya mengenai sesuatu paling banyak memasukkan manusia ke dalam neraka. Maka, baginda menjawab (mafhumnya): “Mulut dan kemaluan.” (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis hasan sahih, diriwayatkan juga oleh Ahmad dan Ibnu Majah – dihasankan oleh Al-Albani dalam kitab As-sohihah)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 451.

  • Akhlak baik lebih berat timbangannya kelak

    Daripada Abu Darda bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Tidak ada sesuatu yang lebih berat pada timbangan seorang hamba Mukmin pada hari kiamat daripada akhlak yang baik. Dan sesungguhnya Allah benci orang yang melakukan kekejian lagi suka berkata kotor. (Diriwayatkan oleh Tirmidzi dan dia berkata hadis hasan sahih – disahihkan oleh Al-Albani dalam kitab Sahih at-Tirmidzi)

    HURAIAN

    Perkata “al-badziyy” ( البَذِيّ ) dalam teks itu, ialah orang suka berkata keji dan kotor.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 450.

  • Orang terbaik adalah yang terbaik akhlaknya

    Daripada Abdullah bin Amru bin Al-As berkata: Rasulullah SAW tidak pernah melakukan kekejian dan tidak pura-pura berbuat keji. Dan adalah baginda bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya sebaik-baik daripada kamu adalah yang terbaik kamu pada akhlak. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Ahmad dan Tirmidzi)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 450.

  • Memahami kebaikan dan dosa

    Daripada An-Nawas bin Sam’an berkata: Saya bertanya Rasulullah SAW mengenai kebaikan dan dosa, maka baginda bersabda (mafhumnya): Al-birr (kebaikan), elok akhlak (budi pekerti), dan al-itsm (dosa), apa yang meragukan pada dadamu, dan kamu tidak suka manusia mengetahuinya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Perkataan “al-birr” ( البِرّ ) erti zahirnya ialah kebaikan, ketaatan, kebajikan, manakala “al-itsm” ( الإثم ) ialah dosa, maksiat, kejahatan.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 449.

  • Hadiah dipulangkan bersama sebabnya

    Daripada As-So’b bin Jatstsamah berkata: Saya telah memberikan hadiah kepada Rasulullah SAW seekor keldai liar. Namun baginda mengembalikannya kepada saya. Maka, tatkala baginda melihat pada raut wajah saya, baginda bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya kami tidak bermaksud menolak hadiah daripada anda, melainkan bahawa kami sedang berihram. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 449.