Hadis

  • Rakus kepada kepada harta dan kemegahan lebih berbahaya

    Daripada Ka’ab bin Malik, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah dua ekor serigala lapar yang dikirimkan kepada seekor kambing itu lebih berbahaya daripada ketamakan seseorang terhadap harta dan kemuliaan (kemegahan), bagi agamanya. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia mengatakan hadis hasan sahih)

    HURAIAN

    Hadis ini mengungkapkan peringatan kerakusan terhadap harta dan kemegahan, kerana cinta dunia adalah pangkal segala jenis kesalahan. Rezeki Allah tidaklah ditarik dengan kerakusan orang yang rakus dan tidak tertolak dengan kebencian orang yang membencinya.

    Nabi SAW bersabda (mafhumnya): “Wahai Abdur Rahman bin Samurah! Janganlah kamu meminta sebagai pemimpin, kerana sesungguhnya kamu apabila diberi tongkat kepimpinan tanpa meminta, maka kamu akan dibantu. Dan apabila kamu diberi kepimpinan kerana memintanya, maka kepimpinan itu akan diserahkan kepadamu.” Demikian menurut catatan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 36

  • Waspada fitnah harta

    Daripada Ka’ab bin ‘Iyadh RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya bagi setiap umat ada fitnah, dan fitnah umatku, harta. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis hasan sahih)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 360

  • Rendahnya dunia di sisi Allah

    Daripada Sahal bin Sa’ad as-Sa’idi RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sekiranya dunia ini di sisi Allah dianggap sebanding dengan selembar sayap nyamuk, pasti Allah tidak akan memberi minum seteguk air pun dari dunia ini kepada orang kafir. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia mengatakan hadis ini adalah hasan sahih)

    HURAIAN

    Hadis ini menjelaskan betapa hinanya dunia di sisi Allah. Oleh kerana itu Allah memberikan banyak hal daripada dunia ini kepada orang kafir dan orang fasik, kerana kehinaan mereka bersama dunia. Allah melindungi para nabi dan orang soleh dari dunia supaya mereka tidak ternoda oleh kehinaan dunia.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 359.

  • Jadilah seolah-olah orang asing di dunia

    Daripada Ibnu Umar (Radhiallahu Anhuma) dia berkata: Rasulullah SAW menepuk dua bahuku, maka baginda bersabda (mafhumnya): “Jadilah di dunia seolah-olah kamu orang asing atau orang yang menyeberang jalan.”

    Dan adalah Ibnu Umar (Radhiallahu Anhuma) berkata: Apabila kamu di waktu petang, maka janganlah kamu menantikan pagi, dan apabila kamu di waktu pagi, maka janganlah kamu menanti petang. Dan ambillah (kesempatan) daripada sihatmu untuk (masa) sakitmu, dan (kesempatan) daripada hidupmu untuk matimu. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    HURAIAN

    Ulama mengatakan mengenai syarah (huraian) hadis ini yang ertinya: Janganlah kamu terlampau cenderung kepada dunia, jangan pula menganggapnya sebagai tanah air dan jangan kamu mengucapkan pada dirimu bahawa kamu akan lama menetap di dunia ini. Selain itu, jangan pula kamu terlalu memberi perhatian pada dunia, jangan tergantung padanya, kecuali sebagaimana ketergantungan orang asing yang berada di negeri lain serta jangan menyibukkan diri di dunia kecuali sebagaimana orang asing yang hendak kembali ke tempat keluarganya semula. Hanya dengan Allah adanya pertolongan.

    Hadis ini mengandungi anjuran untuk tidak memanjangkan angan-angan, bersegera melakukan amalan kebajikan, tidak menunda amalan soleh dan tidak malas.

    Demikian menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, 356.

  • Lihat kepada orang di bawah kamu

    Daripada Abu Hurairah RA dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Lihatlah kamu kepada orang di bawah daripada kamu, dan jangan kamu lihat kepada orang di atas daripada kamu. Maka, dia lebih mendorong kamu untuk tidak menghinakan nikmat Allah yang dilimpahkan atas kamu. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Dalam riwayat al-Bukhari disebutkan Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Jika salah seorang antara kamu melihat orang yang mempunyai kelebihan dalam hal harta benda dan keindahan fizikal, maka hendaklah kamu memandang kepada orang yang keadaannya lebih bawah daripada dia.

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi ubat segala penyakit, sama ada iri hati atau selainnya.

    Dalam hadis lain disebutkan: Semoga Allah merahmati seorang hamba yang dalam urusan duniawi dia memandang kepada orang di bawahnya, lalu dia memuji kepada Allah dan bersyukur kepada-Nya. Dan dalam urusan agama dia memandang orang di atasnya, lalu dia semakin tekun dan bersungguh-sungguh.

    Amr bin Syu’aib meriwayatkan hadis marfu’: Ada dua hal yang apabila kedua-duanya ada pada seseorang, maka Allah akan menulisnya sebagai orang bersyukur dan orang sabar iaitu orang yang dalam urusan duniawi dia memandang kepada orang di bawahnya, lalu dia memuji kepada Allah atas kurnia yang diberikan kepadanya, dan orang yang dalam urusan agama memandang kepada orang di atasnya, lalu dia mengikutinya. Sedangkan orang yang dalam urusan duniawi memandang kepada orang di atasnya dan berasa menyesal atas harta dunia yang terlepas daripada dirinya, maka sungguh dia tidak dicatat sebagai orang yang bersyukur dan orang yang sabar.

    Seorang ulama salaf berkata: Saya pernah bersahabat dengan orang-orang kaya tetapi saya selalu dirundung kesusahan. Lantas saya bersahabat dengan orang-orang fakir, maka saya berasa tenang.

    Dalam hadis marfu’ lain disebutkan: Sedikitkan masuk ke tempat orang kaya, kerana itu lebih mendorong kamu agar tidak menghinakan kenikmatan Allah. Demikian menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 354

  • Solat terlewat waktu

    Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa mendapatkan satu rakaat solat Asar sebelum matahari terbenam, maka dia telah mendapatkannya. Dan sesiapa mendapatkan satu rakaat Subuh sebelum matahari terbit, maka dia telah mendapatkannya.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 116

  • Lalu depan orang solat

    Telah menceritakan kepada Hisyam bin ‘Ammar, telah menceritakan kepada kami Sufyan bin ‘Uyainah, daripada Salim Abu an-Nadhr, daripada Busr bin Sa’id berkata: Kaumku mengutusku menemui Zaid bin Khalid, lalu aku bertanya kepadanya mengenai hukum melintas di depan orang solat. Maka, dia memberiku khabar, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: Sekiranya seseorang berdiri selama empat puluh, maka itu lebih baik daripada dia melintas di depan orang solat.

    Sufyan berkata: Maka, aku tidak tahu, empat puluh tahun, atau bulan, atau pagi, atau sa’ah.

    Sumber/rujukan: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 160.

  • Jangan mengharapkan kematian

    Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Janganlah seorang daripada kamu mengharapkan kematian, (sebab) jika dia orang baik maka mudah-mudahan dia dapat menambah (amalan kebaikannya), dan jika dia orang jahat maka mudah-mudahan dia dapat meminta keredaan-Nya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim, dan ini lafaz milik al-Bukhari)

    Dalam riwayat Muslim; daripada Abu Hurairah, daripada Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Janganlah seorang daripada kamu mengharapkan kematian, dan jangan pula berdoa meminta mati sebelum kematian itu sendiri mendatanginya. Sesungguhnya apabila mati, terputus amalannya. Dan sesungguhnya umur seorang mukmin tidak bertambah melainkan dengan kebaikan.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 426/427

  • Ucapan dan doa Nabi apabila melewati perkuburan

    Daripada Ibnu Abbas, dia berkata: Rasulullah SAW pernah melewati sebuah kubur di Madinah. Maka, baginda menghadapkan mukanya ke arah mereka (penghuni kubur), maka mengucapkan: Assalaamu ‘alaikum ya ahlal qubuur, yaghfirullaahu lanaa wa lakum, antum salafunaa wa nahnu bil atsar (Semoga keselamatan dilimpahkan kepada kamu, wahai penghuni kubur, semoga Allah mengampunkan kami dan kamu semua, kamu telah mendahului kami dan kami akan menyusul kamu). (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, 1053, dan dia berkata hadis hasan – didaifkan oleh Albani dalam Dha’if al-Jami’, 3372)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 426

  • Ucapan dan doa diajarkan Nabi apabila ke perkuburan

    Daripada Buraidah, dia berkata: Adalah Nabi (SAW) mengajarkan mereka apabila mereka keluar ke perkuburan, supaya seorang daripada mereka mengucapkan: Assalaamu ‘alaikum ahlad diyaari minal mu’miniina wal muslimiina wa innaa in-sya-Allahu bikum laahiquun as_alullaaha lanaa wa lakumul aafiyah (Semoga keselamatan dilimpahkan kepada para penghuni kubur-kubur daripada kalangan orang mukminin dan muslimin dan kami in-sya-Allah akan menyusul kamu semua. Aku memohon keselamatan kepada Allah, untuk kami dan kamu semua. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 426