pemimpin

  • Apabila Allah menghendaki kebaikan pemimpin, dijadikan wazir yang benar, jujur

    Daripada Aisyah berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Apabila Allah menghendaki kebaikan pada seorang pemimpin, Dia menjadikan baginya wazir ( وَزِيْر – pembantu/menteri) yang benar (sidq – صِدْق ), jika dia lupa (pembantu) mengingatkannya dan jika dia ingat (pembantu) membantunya. Dan apabila dikehendaki dengannya selain itu, dijadikan baginya wazir (pembantu/menteri) yang jahat, jika dia lupa (pembantu itu) tidak mengingatkannya, dan jika dia ingat (pembantu) tidak membantunya. (Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Nasai)

  • Usah merendahkan, menghina pemimpin

    Daripada Abu Bakrah berkata: Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa merendahkan pemimpin ( السُلْطَان ), Allah merendahkannya. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis hasan, juga diriawaytakan oleh Ahmad)

  • Bersabar hadapi pemimpin

    Daripada Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa membenci (tidak suka) sesuatu daripada pemimpinnya, maka hendaklah dia bersabar. Maka, sesiapa yang keluar daripada kepemimpinan ( السُلْطَان ) sejengkal ( شِبْرًا ), dia mati seperti mati jahiliyah. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Nasai)

  • Tunaikanlah hak atas kamu

    Daripada Abdullah bin Mas’ud berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya akan ada selepasku “atsarah” ( أَثَرَةٌ ) dan perkara-perkara yang tidak kamu sukai.

    Mereka (sahabat) berkata: Wahai Rasulullah, bagaimana anda perintahkan kepada orang-orang di antara kami yang mengalami hal itu?

    Baginda menjawab: Tunaikanlah hak atas kamu, dan mintalah kamu kepada Allah bagi kamu (hak kamu). (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi)

    HURAIAN

    Atsarah ( أَثَرَةٌ )- ialah monopoli penguasa terhadap harta orang yang lebih berhak mendapatkannya. Peristiwa ini sudah nyata berlaku dan ini termasuk dalam mukjizat Nabi SAW – Riyadus Solihin & Penjelasannya.

  • Dengar dan taat kepada pemimpin

    Daripada Abu Hunaidah Wail bin Hujr berkata: Salamah bin Yazid al-Ju’fiyy bertanya kepada Rasulullah SAW, maka dia berkata: Wahai Nabi Allah, bagaimana pendapat anda, sekiranya penguasa-penguasa yang memimpin kami menuntut hak mereka atas kami, dan mereka menahan hak kami. Maka, apakah yang anda perintahkan kepada kami?

    Maka, baginda berpaling darinya. Kemudian, dia bertanya lagi kepada baginda.

    Maka, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Dengar dan taatlah oleh kamu. Maka, sesungguhnya atas mereka apa dipertanggungjawabkan, dan atas kamu apa dipertanggungjawabkan. (Diriwayatkan oleh Muslim)

  • Tidak perangi pemimpin selagi mereka mendirikan solat

    Daripada Auf bin Malik berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik pemimpin-pemimpin kamu adalah yang kamu cintai (suka) mereka, dan mereka mencintai (suka) kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu, sedangkan seburuk-buruk pemimpin kamu adalah yang kamu benci (tak suka) mereka dan mereka membenci (tidak menyukai) kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu. Kami bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah tidak kami memerangi mereka? Baginda menjawab: Tidak, selagi mereka masih mendirikan solat bersama kamu. Tidak, selagi mereka masih mendirikan solat bersama kamu. (Diriwayatkan oleh Muslim)

  • Peringatan kepada pemimpin, sesiapa menguruskan urusan manusia agar tidak mengabaikan mereka

    Daripada Abi Maryam al-Azdiyyi, bahawa dia berkata kepada Muawiyah: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa yang Allah menguasakan kepadanya untuk menguruskan suatu urusan daripada urusan-urusan Muslimin (orang Islam), maka dia mengabaikan keperluan, kemiskinan dan kefakiran, Allah akan mengabaikan keperluan, kemiskinan dan kefakiran mereka kelak pada hari kiamat. Maka, Muawiyah menugaskan seseorang untuk menguruskan keperluan-keperluan manusia. (Diriwayatkan oleh Abu Dawud & at-Tirmidzi)

  • Kamu adalah pemimpin

    Daripada Ibnu Umar RA, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap pimpinannya, dan pemerintah adalah pemimpin, dan lelaki adalah pemimpin ke atas keluarga rumahnya, dan wanita (isteri) pemimpin ke atas rumah suaminya dan anaknya, maka setiap kamu pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap pimpinannya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)

    PENJELASAN

    Perkataan “ar-ra’i” dalam teks hadis itu diterjemahkan sebagai pemimpin — yang diberikan kepercayaan menetapkan kebaikan apa yang diamanahkan kepadanya untuk dijaga. Dia adalah orang yang dituntut untuk bersikap adil, melakukan kemaslahatan terhadap suatu yang dijaganya, dan diminta bertanggungjawab apakah dia melaksanakan kewajipan terhadap rakyatnya atau tidak?

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 237