jiran tetangga

  • Anjuran berbuat baik sesama jiran tetangga

    Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Wahai wanita-wanita muslimat, janganlah seorang jiran tetangga menghina jiran tetangganya yang lain, sekalipun yang dihadiahkan berupa kaki kambing. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari & Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi anjuran agar melakukan perbuatan baik antara jiran tetangga walaupun sedikit.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 248
  • Mendahului jiran tetangga yang dekat

    Daripada Aisyah RAnha berkata: Saya berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mempunyai dua jiran tetangga, maka kepada yang manakah antara kedua-duanya yang saya beri hadiah? Rasulullah berkata: Kepada yang terdekat pintu antara kedua-duanya dari kamu. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    Hadis ini menunjukkan kaedah mendahului jiran tetangga yang lebih dekat, berbanding yang jauh.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 249
  • 3 sikap mulia orang beriman

    Daripada Abu Syuraih al-Khuza’i RA bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Dan sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya. Dan sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah berkata yang baik atau diam saja. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim dengan lafaz ini dan diriwayatkan oleh al-Bukhari sebahagiannya).

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 249
  • Jangan sakiti jiran, muliakan tamu, berkata baik

    Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka jangan menyakiti jiran tetangganya. Dan sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka muliakanlah tamunya. Dan sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka berkatalah yang baik atau diam saja. (Muttafaq alaih – Sahih al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 249
  • Ancaman terhadap orang ganggu jiran

    Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Demi Allah, tidak beriman! Demi Allah, tidak beriman! Demi Allah, tidak beriman! Dikatakan (ditanya): Siapa, wahai Rasulullah? Baginda bersabda: (Orang) yang jiran tetangganya tidak berasa aman daripada kejahatannya. (Muttafaq alaih – Riwayat al-Bukhari & Muslim)

    Dalam riwayat Muslim disebutkan: Tidak akan masuk syurga orang yang jiran tetangganya tidak berasa aman daripada kejahatannya.

    PENJELASAN

    Perkataan “bawaa’iq” ( بوائق ) dalam teks hadis di atas diterjemahkan sebagai bermacam-macam tipu daya dan kejahatan.

    Hadis ini menunjukkan ancaman berat terhadap orang yang menakut-nakutkan jiran tetangga, menipu keluarganya atau harta-bendanya.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 248
  • Besarnya hak jiran tetangga

    Daripada Ibnu Umar dan Aisyah RAnhuma berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Jibril sentiasa memberikan wasiat kepadaku mengenai jiran tetangga, sehingga saya menyangka dia akan memasukkannya sebagai ahli waris. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini menunjukkan betapa besarnya hak jiran tetangga, mengambil peduli terhadapnya dan memberi perhatian keadaannya.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 247