iman

  • Kelusuhan daripada iman

    Daripada Abu Umamah Iyas bin Tsa’labah al-Ansoriyyi al-Haritsi (RA) berkata: Suatu hari para sahabat Rasulullah (SAW) menyebut-nyebut dunia di sisi baginda. Maka, Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Tidakkah kamu mendengar? Tidakkah kamu mendengar? Sesungguhnya kelusuhan daripada iman, sesungguhnya kelusuhan daripada iman, yakni orang kering kulitnya. (Diriwayatkan oleh Abu Daud)

    HURAIAN

    Badzadzah (ba-za-alif-za-ta bulat) dalam teks hadis itu diterjemahkan sebagai keadaan orang yang berpakaian usang dan meninggalkan baju kebanggaan. – Riyadus Solihin & Penjelasannya

    taqahhul (ta-qaf-ha-lam) diterjemahkan sebagai orang yang kering kulitnya kerana hidup kasar dan meninggalkan kemewahan. – Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Kelusuhan termasuk bahagian daripada iman kerana dapat menundukkan jiwa dan memicu bersikap tawaduk.

    Nabi ISA (AS) berkata: Keindahan pakaian adalah kesombongan hati.

    Ali (RA) pernah dicela kerana memakai kain yang bertambal, maka beliau berkata: Semua ini supaya dapat diteladani orang Mukmin dan menjadikan hati khusyuk.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 380.

  • Nabi ditanya Jibril mengenai iman, kiamat

    Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa pada suatu hari Rasulullah keluar menemui orang ramai. Tiba-tiba datanglah seorang Badwi bertanya mengenai iman, dan seterusnya hingga akhirnya orang itu bertanya: Wahai Rasulullah, bilakah datangnya hari kiamat?

    Baginda menjawab: Orang yang ditanya tidak lebih tahu daripada yang bertanya. Tetapi akan aku ceritakan kepadamu syarat-syaratnya, iaitu apabila hamba wanita telah melahirkan tuannya sendiri, dan apabila orang-orang (yang asalnya) tanpa alas kaki, telanjang, miskin, pengembala kambing telah menjadi pemimpin rakyat. Itulah sebahagian daripada syarat-syarat datangnya kiamat, antara lima syarat lain, yang hanya diketahui oleh Allah.

    Kemudian baginda membaca ayat (yang bermaksud): Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah yang menurunkan hujan, dan mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu mengandung). Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat). Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Meliputi Pengetahuan-Nya. (Surah Luqman, ayat 34)

    Kemudian lelaki itu pun pergi.

    Baginda bersabda: Suruhlah dia kembali.

    Tetapi para sahabat tidak melihat apa-apa.

    Baginda menerangkan: Orang tadi adalah Jibril. Dia datang untuk mengajar manusia mengenai agama mereka. (Hadis diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim dalam as-sahihain – dua kitab sahih)

    Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 156