Peluang orang fakir jana pahala

Daripada Abu Hurairah (RA), bahawa orang-orang fakir Muhajirin datang kepada Rasulullah (SAW), maka mereka berkata: Orang-orang kaya telah memborong darjat-darjat ketinggian, dan nikmat yang kekal. Maka, baginda (SAW) berkata: Dan apakah itu (mengapa begitu)? Maka, mereka berkata: Mereka melakukan solat sebagaimana kami melakukan solat, dan mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa, dan mereka bersedekah sedangkan kami tidak bersedekah, dan mereka membebaskan tawanan sedangkan kami tidak membebaskan tawanan. Maka, Rasulullah (SAW) berkata: Apakah tidak saya ajarkan kamu sesuatu yang dengannya kamu dapat menyusuli orang-orang yang mendahului kamu dan kamu mendahului dengannya orang-orang selepas kamu, dan tiada seorang pun yang lebih utama daripada kamu kecuali orang yang melakukan seperti yang kamu lakukan? Mereka berkata: Bahkan, wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Kamu bertasbih, kamu bertahmid dan kamu bertakbir selesai setiap solat tiga puluh tiga kali. Maka, orang-orang fakir Muhajirin kembali semula kepada Rasulullah (SAW), maka mereka berkata: Saudara kami orang yang mempunyai harta telah mendengar dengan apa yang telah kami lakukan, maka mereka melakukan sepertinya? Maka, Rasulullah (SAW) bersabda: Demikian itu limpah kurnia Allah diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim – dan ini lafaz riwayat oleh Muslim – menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, 417)

HURAIAN

Hadis ini menjelaskan betapa indahnya Islam yang memberikan peluang dan ruang ganjaran pahala tanpa membezakan darjat atau kedudukan. Orang fakir, walaupun tidak mampu untuk menderma atau bersedekah, masih berpeluang menjana pahala besar dengan amalan seperti bertasbih (mengucapkan Subhanallah – ertinya, Maha Suci Allah), bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah – ertinya, pujian bagi Allah) dan bertakbir (mengucapkan Allahu akbar – ertinya, Allah Maha Besar), seperti disebutkan hadis itu.

Global Terkini