Kaya yang sebenar-benarnya

Daripada Abu Hurairah (RA), daripada Nabi (SAW) bersabda (mafhumnya): Bukanlah kekayaan kerana banyaknya harta, tetapi kekayaan ialah kaya jiwa. (Muttafaq alaih – Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Ahmad dan Tirmidzi)

HURAIAN

‘aradh (ain-ra-dho’) dalam teks hadis itu diterjemahkan sebagai harta. – Riyadus Solihin & Penjelasannya.

Maksud hadis ini ialah kekayaan hakiki bukan dengan banyaknya harta yang disertai dengan kerakusan, tetapi kekayaan sejati adalah orang yang berasa cukup dan bersikap qanaah dengan apa yang dikurniakan Allah kepadanya.

Kekayaan yang dipuji adalah kekayaan jiwa, kerana ia akan mencegah daripada dorongan rasa tamak, sehingga menjadi mulia.

Seorang penyair mengatakan:

Sesiapa menghabiskan semua waktunya untuk mengumpulkan harta kerana takut miskin

Maka, itulah kemiskinan yang sebenarnya

Orang bijak mengatakan:

Kami rela dengan pemberian Allah Yang Maha Perkasa kepada kami

Kami memiliki ilmu, sedangkan orang jahil mempunyai harta

Harta akan habis sekejap lagi

Sementara ilmu adalah perbendaharaan yang takkan lenyap.

Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 388.

Global Terkini