Riyadus Solihin & Penjelasannya

  • Ucapan dan doa Nabi apabila melewati perkuburan

    Daripada Ibnu Abbas, dia berkata: Rasulullah SAW pernah melewati sebuah kubur di Madinah. Maka, baginda menghadapkan mukanya ke arah mereka (penghuni kubur), maka mengucapkan: Assalaamu ‘alaikum ya ahlal qubuur, yaghfirullaahu lanaa wa lakum, antum salafunaa wa nahnu bil atsar (Semoga keselamatan dilimpahkan kepada kamu, wahai penghuni kubur, semoga Allah mengampunkan kami dan kamu semua, kamu telah mendahului kami dan kami akan menyusul kamu). (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, 1053, dan dia berkata hadis hasan – didaifkan oleh Albani dalam Dha’if al-Jami’, 3372)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 426

  • Ucapan dan doa diajarkan Nabi apabila ke perkuburan

    Daripada Buraidah, dia berkata: Adalah Nabi (SAW) mengajarkan mereka apabila mereka keluar ke perkuburan, supaya seorang daripada mereka mengucapkan: Assalaamu ‘alaikum ahlad diyaari minal mu’miniina wal muslimiina wa innaa in-sya-Allahu bikum laahiquun as_alullaaha lanaa wa lakumul aafiyah (Semoga keselamatan dilimpahkan kepada para penghuni kubur-kubur daripada kalangan orang mukminin dan muslimin dan kami in-sya-Allah akan menyusul kamu semua. Aku memohon keselamatan kepada Allah, untuk kami dan kamu semua. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 426

  • Doa Nabi kepada penghuni Baqi’

    Daripada Aisyah (RAnha) berkata: Adalah Rasulullah (SAW) – pada malam gilirannya bersama Rasulullah – keluar di akhir malam ke Baqi’, maka dia mengucapkan: Assalaamu ‘alaikum daara qaumin mu’minin (Semoga keselamatan dilimpahkan kepada kamu wahai para penghuni kubur Mukminin). Dan akan didatangkan kepada kamu apa yang dijanjikan kepada kamu, esok (pada hari kiamat) dengan disegerakan, dan sesungguhnya kami in-sya-Allah (sekiranya dikehendaki Allah) akan menyusuli kamu. Wahai Allah, ampunkanlah penghuni Baqi’ al-Gharqad. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 425.

  • Boleh ziarah kubur

    Daripada Buraidah, dia berkata: Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Adalah saya pernah melarang kamu daripada ziarah kubur, maka (sekarang) ziarahlah oleh kamu. (Diriwayatkan oleh Muslim; ada juga dalam riwayat Abu Daud)

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 425.

  • Selalu ingat pada mati

    Daripada Abu Hurairah berkata, Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Kamu banyakkan mengingati pemutus segala kelazatan, yakni: maut. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis hasan; diriwayatkan oleh Ibn Majah)

    HURAIAN

    Lafaz “haadzimu” dengan huruf dzal (zal kecil), bererti pemutus; diriwayatkan juga ia dengan huruf dal “haadimu” yang bererti mencabutnya dari akarnya. – Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 424.

  • Bersegera dengan amalan ibadat sebelum datang tujuh perkara

    Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Segeralah dengan amalan-amalan sebelum datang tujuh perkara, adakah kamu menunggu melainkan kefakiran yang melupakan, atau kekayaan yang membuatkan melampaui batas, atau sakit yang merosakkan, atau masa tua yang tidak mengizinkan, atau maut yang mendadak, atau dajjal, seburuk-buruk perkara ghaib yang dinanti-nanti, atau kiamat, dan kiamat sangat membinasakan, dan sangat pahit. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dan dia berkata hadis hasan)

    HURAIAN

    Mengenai terjemahan: “masa tua yang tidak mengizinkan” dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya diterjemahkan “masa tua yang menguruskan”. Dalam sunnah.com diterjemahkan: “nyanyuk yang akan membuatkan tidak stabil dari segi mental”.

    Hadis ini mengandungi perintah agar bersegera melaksanakan amalan soleh sebelum menemui salah satu daripada bencana yang dapat menjadikan manusia bingung daripada melakukan pelbagai ibadat.

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 423.

  • Waspada dengan kehidupan dunia

    Daripada Ibnu Mas’ud dia berkata: Nabi (SAW) membuat garis persegi empat dan membuat garis di tengah terkeluar (sedikit) darinya. Dan baginda membuat beberapa garis pada sisi garis tengah dari tengah garis itu. Maka, baginda bersabda (mafhumnya): Ini adalah insan (manusia), dan ini adalah ajalnya, yang telah mengelilinginya, dan ini (garis) yang terkeluar (sedikit) adalah angan-angannya. Dan ini garis-garis kecil adalah rintangan-rintangan. Maka, jika dia lepas dari (garis) ini, dia akan digigit (garis) ini. Dan jika dia lepas dari (garis) ini, dia akan digigit (garis) yang ini. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    HURAIAN

    Garis tengah ialah manusia, garis empat segi ialah ajal, garis-garis kecil ialah rintangan dan garis yang terkeluar dari segi empat ialah angan-angan.

    Anjuran untuk memendekkan angan-angan dan mempersiapkan diri menghadapi ajal yang datangnya tiba-tiba.

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 423.

  • Jadilah sebagai orang asing di dunia

    Daripada Ibnu Umar dia berkata, Rasulullah (SAW) memegang bahuku, maka baginda bersabda: Jadilah di dunia seolah-olah kamu asing atau pengembara. Dan adalah Ibnu Umar berkata: Apabila kamu berada pada waktu petang, maka jangan kamu tunggu pagi, dan apabila kamu pada waktu pagi, maka jangan kamu tunggu petang, dan gunakanlah (manfaatkan) daripada (masa) sihatmu untuk (masa) sakitmu, dan daripada (masa) hidupmu untuk (masa) matimu. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 422.

  • Peluang orang fakir jana pahala

    Daripada Abu Hurairah (RA), bahawa orang-orang fakir Muhajirin datang kepada Rasulullah (SAW), maka mereka berkata: Orang-orang kaya telah memborong darjat-darjat ketinggian, dan nikmat yang kekal. Maka, baginda (SAW) berkata: Dan apakah itu (mengapa begitu)? Maka, mereka berkata: Mereka melakukan solat sebagaimana kami melakukan solat, dan mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa, dan mereka bersedekah sedangkan kami tidak bersedekah, dan mereka membebaskan tawanan sedangkan kami tidak membebaskan tawanan. Maka, Rasulullah (SAW) berkata: Apakah tidak saya ajarkan kamu sesuatu yang dengannya kamu dapat menyusuli orang-orang yang mendahului kamu dan kamu mendahului dengannya orang-orang selepas kamu, dan tiada seorang pun yang lebih utama daripada kamu kecuali orang yang melakukan seperti yang kamu lakukan? Mereka berkata: Bahkan, wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Kamu bertasbih, kamu bertahmid dan kamu bertakbir selesai setiap solat tiga puluh tiga kali. Maka, orang-orang fakir Muhajirin kembali semula kepada Rasulullah (SAW), maka mereka berkata: Saudara kami orang yang mempunyai harta telah mendengar dengan apa yang telah kami lakukan, maka mereka melakukan sepertinya? Maka, Rasulullah (SAW) bersabda: Demikian itu limpah kurnia Allah diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim – dan ini lafaz riwayat oleh Muslim – menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, 417)

    HURAIAN

    Hadis ini menjelaskan betapa indahnya Islam yang memberikan peluang dan ruang ganjaran pahala tanpa membezakan darjat atau kedudukan. Orang fakir, walaupun tidak mampu untuk menderma atau bersedekah, masih berpeluang menjana pahala besar dengan amalan seperti bertasbih (mengucapkan Subhanallah – ertinya, Maha Suci Allah), bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah – ertinya, pujian bagi Allah) dan bertakbir (mengucapkan Allahu akbar – ertinya, Allah Maha Besar), seperti disebutkan hadis itu.

  • Sikap terpuji Rasulullah tidak mengesampingkan sesiapa walaupun seorang budak

    Daripada Sahl bin Sa’d (RA) bahawa Rasulullah (SAW) diberikan dengan minuman, maka baginda minum daripadanya, dan di kanannya ada budak lelaki, dan di kirinya orang-orang tua, maka baginda berkata kepada budak itu: Adakah kamu membenarkan saya untuk memberikan (minuman ini) kepada mereka? Maka, budak itu menjawab: Tidak, demi Allah, wahai Rasulullah, saya tidak akan mendahulukan seorang pun daripada saya untuk mendapatkan bahagian saya daripada anda. Maka, Rasulullah (SAW) meletakkannya (minuman itu) pada tangannya (budak itu). (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Budak itu (dalam terjemahan Riyadus Solihin, remaja) adalah Abdullah bin Abbas.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 413.