Riyadus Solihin & Penjelasannya

  • Menyegerakan Maghrib dan berbuka

    Daripada Abu Athiyah, dia berkata: Aku bersama Masruq masuk menemui Aisyah RA (radhiallahu anha). Masruq kemudian bertanya, ada dua sahabat Muhammad SAW, kedua-duanya tiada lalai daripada kebaikan, salah seorangnya menyegerakan Maghrib dan berbuka, dan yang lain (seorang lagi) mengakhirkan Maghrib dan berbuka? Aisyah bertanya: Siapa yang menyegerakan Maghrib dan berbuka? Masruq menjawab: Abdullah — iaitu (Abdullah) Ibnu Mas’ud. Aisyah berkata: Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah. (Hadis diriwayat Muslim)

    Huraian

    Hadis ini mengandungi anjuran menyegerakan Maghrib dan berbuka puasa ketika matahari terbenam.

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 741

  • Keutamaan segera berbuka puasa

    Daripada Sahl bin Saad RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Manusia akan sentiasa dalam kebaikan selama (atau selagi) mereka menyegerakan berbuka puasa. (Sahih Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

    Huraian

    Ahmad menambahkan daripada riwayat Abu Dzar (bermaksud) “dan mereka mengakhirkan sahur.”

    Disebutkan dalam satu riwayat: “Umatku akan sentiasa berpegang pada sunahku selama mereka tidak menunggu (terbitnya) bintang-bintang saat berbuka.”

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 740

  • Pembeza puasa Muslim dengan ahli kitab

    Daripada Amr bin As RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Pembeza antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah makan sahur. (Hadis diriwayatkan Muslim)

    Huraian

    Hadis ini secara tegas menunjukkan bahawa sahur termasuk salah satu keistimewaan umat ini dan Allah menganugerahkan syariat itu kepada kita, seperti halnya Dia juga menganugerahkan berbagai-bagai rukhsah (keringanan atau kelonggaran) lainnya.

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 740 

  • Berkat pada sahur

    Daripada Anas RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: Bersahurlah kamu! Maka, sesungguhnya pada sahur ada keberkatan. (Sahih Bukhari, Muslim, Tirmidzi dan Nasai)

    Huraian

    Keberkatan sahur dapat diperolehi melalui banyak sisi, seperti:

    1. Mengikuti sunah, berbeza dengan ahli kitab.

    2. Memperkuat ibadat.

    3. Meningkatkan vitaliti (daya).

    4. Mencegah akhlak tidak baik berpunca daripada rasa lapar.

    5. Faktor mendorong untuk bersedekah kepada orang meminta ketika itu atau mengajaknya makan bersama.

    6. Faktor mendorong zikir dan doa pada waktu mustajab (waktu diterima doa).

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 740

  • Doa apabila melihat hilal

    Daripada Talhah bin Ubaidullah RA, apabila melihat hilal (anak bulan) Nabi SAW membaca: Wahai Allah munculkanlah ia kepada kami dengan aman dan iman, selamat dan Islam, Rabbku (Tuhanku) dan Rabbmu (Tuhanmu) Allah, hilal petunjuk dan kebaikan.” (Hadis diriwayatkan at-Tirmidzi, dia berkata hadis ini (statusnya) hasan)

    Huraian

    Hadis ini berisi anjuran berdoa saat melihat hilal. 

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 737

  • Puasa Ramadan kerana melihat hilal

    Daripada Ibnu Abbas RA (radhiallahu anhu) dia berkata Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu berpuasa sebelum Ramadan. Puasalah kerana melihatnya (hilal = anak bulan) dan berbukalah kerana melihatnya. Jika awan menghalangi (hilal), maka sempurnakanlah 30 hari. (Hadis diriwayatkan Tirmidzi, dia berkata hadis ini (status) hasan sahih)

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 737/738

  • Tidak mendahului Ramadan melainkan…

    Daripada Abu Hurairah RA (radhiallahu anhu) daripada Nabi SAW (sollallahu alaihi wasallam) baginda bersabda: “Janganlah seseorang antara kamu mendahului Ramadan dengan puasa satu hari atau dua hari, melainkan bagi orang yang biasa berpuasa, maka silakan dia berpuasa pada hari itu.” (Muttafaq alaihi — Sahih Bukhari & Muslim) 

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 737

  • Sunah cium anak

    Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: “Nabi SAW pernah mencium Hasan bin Ali RA. Al-Aqra’ bin Habis pun berkata: Sesungguhnya aku mempunyai sepuluh orang anak, namun aku tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka. Rasulullah SAW lalu bersabda: Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.(Sahih Bukhari dan Muslim) 

    Huraian

    — Intisari hadis ini ialah sunah mencium anak sebagai bentuk kasih sayang. 

    Sumber Riyadus Solihin & Penjelasannya 

  • Cara jawab salam ahli kitab

    Daripada Anas RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: “Apabila ada ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) memberi salam kepada kamu, maka jawablah (dengan ucapan): Wa alaikum.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

    Huraian

    —  An-Nawawi berkata: “Ulama sepakat atas bolehnya menjawab ucapan salam kepada ahli kitab jika mereka mendahului mengucapkan salam, namun jangan dengan mengucapkan wa alaikum salam tetapi ucapkanlah alaikum atau wa alaikum.”

    — Makna hadis ini terdapat dalam hadis lain: “Sesungguhnya orang Yahudi ketika mengucapkan salam kepada kamu, salah satu daripada mereka mengucapkan ‘as-saamu alaikum’ maka jawablah salam mereka dengan ucapan ‘wa alaikum’.” (Riwayat Muslim) 

    — As-saamu ertinya kematian.

    Sumber Riyadus Solihin & Penjelasannya

  • Pandang pada hati

    Daripada Abu Hurairah, Abdur Rahman bin Shakhr berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh-tubuh kamu dan tidak pula kepada bentuk rupa kamu, tetapi Dia melihat kepada hati-hati kamu. (Hadis riwayat Muslim)

    Sumber Riyadus Solihin & Penjelasannya