Riyadus Solihin & Penjelasannya

  • Akhlak baik lebih berat timbangannya kelak

    Daripada Abu Darda bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Tidak ada sesuatu yang lebih berat pada timbangan seorang hamba Mukmin pada hari kiamat daripada akhlak yang baik. Dan sesungguhnya Allah benci orang yang melakukan kekejian lagi suka berkata kotor. (Diriwayatkan oleh Tirmidzi dan dia berkata hadis hasan sahih – disahihkan oleh Al-Albani dalam kitab Sahih at-Tirmidzi)

    HURAIAN

    Perkata “al-badziyy” ( البَذِيّ ) dalam teks itu, ialah orang suka berkata keji dan kotor.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 450.

  • Orang terbaik adalah yang terbaik akhlaknya

    Daripada Abdullah bin Amru bin Al-As berkata: Rasulullah SAW tidak pernah melakukan kekejian dan tidak pura-pura berbuat keji. Dan adalah baginda bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya sebaik-baik daripada kamu adalah yang terbaik kamu pada akhlak. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Ahmad dan Tirmidzi)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 450.

  • Memahami kebaikan dan dosa

    Daripada An-Nawas bin Sam’an berkata: Saya bertanya Rasulullah SAW mengenai kebaikan dan dosa, maka baginda bersabda (mafhumnya): Al-birr (kebaikan), elok akhlak (budi pekerti), dan al-itsm (dosa), apa yang meragukan pada dadamu, dan kamu tidak suka manusia mengetahuinya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Perkataan “al-birr” ( البِرّ ) erti zahirnya ialah kebaikan, ketaatan, kebajikan, manakala “al-itsm” ( الإثم ) ialah dosa, maksiat, kejahatan.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 449.

  • Hadiah dipulangkan bersama sebabnya

    Daripada As-So’b bin Jatstsamah berkata: Saya telah memberikan hadiah kepada Rasulullah SAW seekor keldai liar. Namun baginda mengembalikannya kepada saya. Maka, tatkala baginda melihat pada raut wajah saya, baginda bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya kami tidak bermaksud menolak hadiah daripada anda, melainkan bahawa kami sedang berihram. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 449.

  • Kemuliaan dan sikap terpuji Rasulullah SAW

    Daripada Anas berkata: Saya tidak pernah menyentuh dibaj (jenis kain sutera unggul) atau harir (jenis sutera lain) yang lebih lembut daripada tapak tangan Rasulullah SAW dan saya tidak pernah mencium suatu bau pun yang lebih harum daripada bau (keringat) Rasulullah SAW. Dan sesungguhnya, saya pernah berkhidmat (menjadi pelayan) kepada Rasulullah SAW selama sepuluh tahun, dan baginda belum pernah mengatakan kepada saya ‘ah’ dan tidak mengkritik sesuatu yang saya lakukan ‘kenapa anda melakukannya’ dan tidak (juga mengkritik) bagi sesuatu yang tidak saya lakukannya ‘kenapa tidak anda buat begini’. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 449.

  • Rasulullah sebaik-baik manusia pada akhlaknya

    Daripada Anas berkata: Adalah Rasulullah SAW sebaik-baik manusia pada akhlaknya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 448.

  • Balasan orang membesar-besarkan diri

    Daripada Salamah bin Al-Akwa’ berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Seorang lelaki terus-menerus membesar-besarkan dirinya (takbur) hingga dia ditulis dalam golongan al-jabbarin (orang-orang zalim, dan takbur), maka ditimpakan ke atasnya sebagaimana yang menimpa mereka. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dan dia berkata hadis hasan)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 447.

  • Perihal orang takbur, ujub

    Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tatkala seorang lelaki berjalan dengan mengenakan jubah yang membuat dirinya ujub (kagum bercampur bangga pada diri), rambutnya tersisir rapi dan berjalan dengan takbur, tiba-tiba Allah menenggelamkannya (ke dalam bumi), maka dia terus turun dan bergoncang-goncang di dalam bumi hingga hari kiamat. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 447.

  • Kemuliaan adalah sarung-Ku

    Daripada Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Allah Taala berfirman: Kemuliaan adalah sarung-Ku dan membesar-besarkan adalah selendang-Ku. Sesiapa yang menentang-Ku, maka Aku akan mengazabkannya. (Diriwayatkan oleh Muslim, ada juga dalam riwayat Abu Daud)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 446.

  • Tiga golongan yang Allah tidak pandang kepada mereka

    Daripada Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tiga (golongan) yang Allah tidak berbicara dengan mereka pada hari kiamat, tidak mensucikan mereka, dan tidak melihat kepada mereka, dan bagi mereka azab yang bersangatan; orang tua penzina, pemimpin pendusta, dan orang miskin takbur. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 446.