Riyadus Solihin & Penjelasannya

  • Keutamaan sifat belas kasihan

    Daripada Aisyah RA (Radhiallahu Anha), dia berkata: Ada beberapa orang dari kalangan orang pedalaman datang menghadap Rasulullah SAW, lalu mereka berkata: “Adakah anda suka mencium anak-anak anda?” 

    Baginda menjawab: “Ya.”

    Mereka berkata lagi: “Tetapi demi Allah, kami tidak pernah mencium anak-anak.”

    Kemudian, Rasulullah SAW bersabda: “Apakah saya dapat mencegah sekiranya Allah telah mencabut sifat belas kasihan daripada hati kamu.”

    (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Huraian:

    Hadis ini menganjurkan agar mengasihi anak-anak, mencium dan menyayangi mereka.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 203/204

  • Orang tidak menyayangi, tidak akan disayangi

    Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata Nabi SAW mencium Al-Hasan bin Ali RA dan di samping baginda ada Al-Aqra’ bin Habis, lalu Al-Aqra’ berkata: “Saya mempunyai sepuluh orang anak. Tetapi saya belum pernah mencium seorang pun daripada mereka.” 

    Lantas Rasulullah SAW memandangnya, kemudian baginda bersabda: “Sesiapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi.”

    (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 203

  • Mukminin bagaikan satu tubuh

    Daripada An-Nu’man bin Basyir RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: 

    “Perumpamaan orang-orang Mukminin dalam hal saling menyayangi, saling mengasihi dan saling bersimpati adalah bagaikan tubuh. Jika salah satu anggota daripada tubuh merasai sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya, dengan tidak tidur serta berasa panas.” 

    (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Huraian:

    Hadis ini menunjukkan kemuliaan hak-hak orang Islam dan motivasi untuk saling membantu dan mengasihi antara sesama yang lain.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 203

  • Adab membawa senjata di khalayak

     Daripada Abu Musa RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: 

    “Sesiapa yang berjalan di suatu tempat dari masjid-masjid kita atau pasar-pasar kita, sedang dia membawa anak panah, maka hendaklah dia memegang atau menggenggam hujung-hujungnya dengan telapak tangannya, sebab dikhuatirkan dengan anak panahnya akan mengenai seseorang daripada orang-orang Muslimin.”

    (Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Huraian:

    Hadis ini menunjukkan perintah menggenggam hujung anak panah. Demikian pada pedang, pisau dan lain-lain. Dan menyimpan peluru dari senapang dan pistol kerana khuatir terkena pada seseorang.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 202/203

  • Mukmin terhadap Mukmin bagaikan bangunan

    Mukmin terhadap Mukmin bagaikan bangunan

    Daripada Abu Musa RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: 

    “Seorang Mukmin terhadap Mukmin yang lain bagaikan bangunan yang sebahagiannya menguatkan bahagian lainnya.” Dan baginda menjalinkan antara hari-jarinya.

    (Hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim)

    Huraian:

    Hadis ini menganjurkan untuk membantu dan membela orang Mukmin. Allah berfirman, maksudnya: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (melakukan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.” (Al-Maidah, ayat 2) 

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 202

  • Beriman, beristiqamah

    Daripada Abu ‘Amru — ada dikatakan Abi ‘Amrah Sufyan bin Abdullah RA, dia berkata: Saya bertanya, wahai Rasullah, katakanlah padaku mengenai Islam suatu pernyataan yang tidak akan saya tanyakan lagi kepada seseorang selain engkau.

    Rasulullah SAW menjawab: “Katakanlah, saya beriman kepada Allah, kemudian istiqamah (tetap teguh).” (Diriwayatkan oleh Muslim)

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 102 & 103

    Huraian:

    Hadis ini menghimpunkan makna Islam dan iman secara keseluruhan. 

    Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata ‘Tuhan kami ialah Allah’ kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Surah al-Ahqaf, ayat 13 — Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1347)

    Dalam keterangan diberikan tafsir itu: Setelah Tuhan menerangkan fahaman dan amalan yang salah dan terpesong, maka dengan ayat ini dan yang berikutnya, Tuhan menyatakan cara orang-orang yang baik amalannya dan bahagia balasannya. (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1347)

    Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata, “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. (Surah Fussilat, ayat 30 — Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1271 & 1272)

    Keterangan dalam tafsir itu: Setelah menerangkan perihal orang-orang kafir dan balasannya, maka dalam ayat ini dan ayat berikutnya, Allah Taala menerangkan perihal orang-orang beriman dan balasan yang sebaik-baiknya yang akan diberikan kepada mereka di dunia dan di akhirat. (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1272)

    Menurut Riyadus Solihin, sesetengah ulama ahli makrifat (ahli ilmu mengenai Allah) berkata: Rujukan istiqamah (tetap teguh) kepada dua hal, iaitu kebenaran iman kepada Allah dan mengikuti apa yang dibawa oleh Rasulullah sama ada lahir mahupun batin.

    Nabi SAW pernah bersabda: Istiqamah (tetap teguh) dan jangan menghitung-hitung (amalan baikmu). Ketahuilah bahawa sebaik-baik amalan perbuatan kamu ialah solat dan tidak ada yang memelihara wuduk melainkan orang Mukmin (beriman). (Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 103) 

  • Amalan disertai dengan niat

    Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin al-Khattab bin Nufail bin Abdil Uzza bin Riyah bin Abdullah bin Qurth bin Razah bin ‘Adi bin Kaab bin Luaiy bin Ghalib al-Qurasyiy al-‘Adawiy RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:

    “Sesungguhnya amalan perbuatan disertai dengan niat dan bagi setiap orang pada yang telah dia niatkan. Maka, sesiapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrah itu menuju kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya demi harta dunia yang hendak diperolehinya ataupun untuk seorang wanita yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya menuju kepada niat dimaksudkan dalam hijrahnya itu.”

    — Hadis disepakati kesahihannya — Sahih Bukhari dan Muslim

    Penjelasan: 

    Hadis diriwayatkan dua imam ahli hadis iaitu Abu Abdillah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al-Mughirah bin Bardizbah Al-Ju’fi Al-Bukhari dan Abu Husain Muslim bin Al-Hajjaj bin Muslim Al-Qusyairi An-Naisaburi  – semoga Allah meredai kedua-duanya – dalam dua kitab sahih masing-masing.

    Hadis ini hadis agung (utama), mulia dan banyak faedahnya.

    Imam Syafie (dipetik) berkata: Hadis ini mencakupi 70 bab ilmu.

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 25 & 26

  • Tiga hal berbangkit di hari kiamat

    Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla berfirman pada hari kiamat: Wahai anak Adam! Aku sakit tetapi kamu tidak menjenguk-Ku. Anak Adam berkata: Ya Rabb! Bagaimana saya menjenguk-Mu, sedangkan Engkau adalah Rabb yang menguasai seluruh alam ini?

    “Allah berfirman: Tidakkah kamu mengetahui bahawa seorang hamba-Ku si polan itu sakit tetapi kamu tidak menjenguknya. Tidakkah kamu mengetahui bahawa apabila kamu menjenguknya tentulah kamu akan mendapati Aku di sisinya?

    “(Allah berfirman) wahai anak Adam! Aku meminta makanan padamu tetapi kamu tidak memberi-Ku makan. Anak Adam berkata: Ya Rabb, bagaimana saya memberikan makanan pada-Mu, sedang Engkau adalah Rabb yang menguasai seluruh alam ini?

    “Allah berfirman: Tidakkah kamu mengetahui bahawa seorang hamba-Ku si polan itu meminta makanan padamu tetapi kamu tidak memberinya makanan. Tidakkah kamu mengetahui, bahawa apabila kamu memberikan makanan padanya tentu kamu akan mendapatkan yang demikian itu di sisi-Ku.”

    “(Allah berfirman) wahai anak Adam! Aku meminta minuman padamu tetapi kamu tidak memberiku minum. Anak Adam berkata: Ya Rabb! Bagaimana aku memberikan minuman pada-Mu, sedangkan Engkau adalah Rabb yang menguasai seluruh alam ini?

    “Allah berfirman: Hamba-Ku si polan itu meminta minuman padamu tetapi kamu tidak memberikan minuman itu padanya. Andai saja kamu memberikan minuman padanya tentulah kamu akan mendapatkan yang demikian itu di sisi-Ku.” (Hadis diriwayat oleh Muslim)

    Huraian

    — Firman-Nya bermaksud ‘nescaya kamu akan mendapati Aku di sisinya’ yakni dengan ilmu (Nya), sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi?

    “Tiada perbicaraan rahsia antara tiga orang melainkan Dialah keempatnya. Dan tiada (perbicaraan antara) lima orang, melainkan Dialah keenamnya. Dan tiada (pula) perbicaraan antara jumlah yang kurang daripada itu atau lebih banyak, melainkan Dia berada bersama mereka di mana pun mereka berada.

    “Kemudian Dia akan memberitahukan kepada mereka pada hari kiamat apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah al-Mujadalah, ayat 7)

    — Firman-Nya bermaksud; ‘tidakkah kamu mengetahui bahawa apabila kamu memberikan makanan kepadanya, nescaya kamu akan mendapatkan yang demikian itu di sisi-Ku’ yakni pahalanya, sebagaimana firman Allah bermaksud:

    “Dan kebaikan apa saja yang kamu perbuat untuk dirimu nescaya kamu memperoleh (balasan) nya di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan paling besar pahalanya.” (Surah al-Muzammil, ayat 20)

    — Hadis ini adalah dalil bahawa semua amal kebaikan tidaklah sia-sia dan kebaikan itu memiliki kedudukan yang mulia di sisi Allah.

    Sumber Riyadus Solihin & Penjelasannya

  • Kurma dan air

    Daripada Salman bin Amir adh-Dhabbiy as-Sohabi RA daripada Nabi SAW, baginda bersabda (mafhumnya): Apabila seorang daripada kamu berbuka (berbuka puasa), maka berbukalah dengan kurma, jika tidak ada, maka berbukalah dengan air. Maka, sesungguhnya ia (air) adalah pembersih (atau menyucikan). (Hadis diriwayat Abu Dawud dan Tirmidzi. Tirmidzi berkata, hadis ini hasan sahih)

    Huraian

    Sabda baginda “maka berbukalah dengan kurma”, Tirmidzi menambahkan “kerana (kurma) itu berkat”. Hikmahnya adalah ketika di dalam perut ada sisa-sisa makanan, kurma menghilangkan sisa-sisa itu dan jika tidak ada, kurma menjadi sumber makanan, selain kurma juga menyatukan kembali cahaya penglihatan yang berserakan (bertaburan) kerana puasa. 

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 743

  • Segera berbuka dicintai Allah

    Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: Allah (Azza wa Jalla) berfirman, hamba-hamba-Ku yang paling Aku cintai adalah yang paling menyegerakan berbuka (berbuka puasa). (Hadis diriwayatkan Tirmidzi dan berkata hadis ini hasan)

    Huraian

    Allah mencintai orang yang menyegerakan berbuka kerana menyegerakan berbuka itu mengikuti sunah.

    Allah berfirman maksudnya: Katakanlah (Muhammad) ‘jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu’. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Surah Ali-Imran, ayat 31)

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 741