Riyadus Solihin & Penjelasannya

  • Kelusuhan daripada iman

    Daripada Abu Umamah Iyas bin Tsa’labah al-Ansoriyyi al-Haritsi (RA) berkata: Suatu hari para sahabat Rasulullah (SAW) menyebut-nyebut dunia di sisi baginda. Maka, Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Tidakkah kamu mendengar? Tidakkah kamu mendengar? Sesungguhnya kelusuhan daripada iman, sesungguhnya kelusuhan daripada iman, yakni orang kering kulitnya. (Diriwayatkan oleh Abu Daud)

    HURAIAN

    Badzadzah (ba-za-alif-za-ta bulat) dalam teks hadis itu diterjemahkan sebagai keadaan orang yang berpakaian usang dan meninggalkan baju kebanggaan. – Riyadus Solihin & Penjelasannya

    taqahhul (ta-qaf-ha-lam) diterjemahkan sebagai orang yang kering kulitnya kerana hidup kasar dan meninggalkan kemewahan. – Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Kelusuhan termasuk bahagian daripada iman kerana dapat menundukkan jiwa dan memicu bersikap tawaduk.

    Nabi ISA (AS) berkata: Keindahan pakaian adalah kesombongan hati.

    Ali (RA) pernah dicela kerana memakai kain yang bertambal, maka beliau berkata: Semua ini supaya dapat diteladani orang Mukmin dan menjadikan hati khusyuk.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 380.

  • Bandingan dunia dan akhirat

    Daripada al-Mustaurid bin Syaddad RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tidaklah dunia (dibandingkan) dengan akhirat melainkan umpama seorang daripada kamu mencelupkan jarinya dalam lautan, lalu lihatlah apa yang masih tersisa. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim, disebutkan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 351)

    HURAIAN

    Nabi SAW membuat perumpamaan masa di dunia dibandingkan masa di akhirat serta kenikmatannya bagaikan air yang melekat pada jari dari air laut. Allah berfirman, maksudnya: Maka, tidaklah kesenangan hidup di dunia ini dibandingkan dengan akhirat melainkan sedikit. (Surah at-Taubah, ayat 38)

  • Tiga mengikuti mayat: Dua kembali, satu tetap bersamanya

    Daripada Anas RA, daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda (mafhumnya): Ada tiga hal yang mengikuti mayat; keluarganya, hartanya dan amalannya. Dua hal kembali dan yang satu tetap bersamanya. Keluarga dan hartanya kembali, sedangkan amalannya tetap bersamanya. (Hadis muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, disebutkan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 350)

    HURAIAN

    Disebutkan dalam riwayat al-Barra’: Mayat di dalam kubur akan didatangi oleh seseorang yang tampan wajahnya, bagus pakaiannya, dan harum aromanya, lalu ia berkata, bergembiralah dengan sesuatu yang menggembirakanmu. Lalu mayat bertanya, anda siapa? Ia menjawab: Saya ialah amalan perbuatanmu yang baik. (Al-hadis) – Demikian menurut yang dinyatakan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 350.

  • Waspada keindahan dan perhiasan dunia

    Daripada Abu Said al-Khudri RA, dia berkata: Suatu ketika Rasulullah SAW duduk di atas mimbar, sedangkan kami duduk di sekitarnya, maka baginda bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya daripada apa yang saya takutkan (khuatir, bimbang) atas kamu semua selepasku (sepeninggalanku) ialah apa yang dibukakan atas kamu semua daripada keindahan dunia dan perhiasannya. (Hadis muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim, disebutkan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 349)

  • Janganlah harta dunia menghancurkan kamu

    Daripada Amr bin Auf Al-Ansari RA, bahawa Rasulullah SAW mengirim Abu Ubaidah bin Al-Jarrah RA ke Bahrain, dia datang (ke tempat itu) untuk jizyah. Kemudian, dia datang (kembali) dengan (membawa) harta dari Bahrain. Maka, orang-orang Ansar mendengar kedatangan Abu Ubaidah. Maka, mereka menunaikan solat fajar bersama-sama Rasulullah SAW.

    Setelah Rasulullah SAW selesai melakukan solat, maka baginda kembali. Selanjutnya, mereka bermaksud untuk menemui baginda. Rasulullah SAW tersenyum ketika melihat mereka, kemudian baginda bersabda: Saya kira kamu semua sudah mendengar bahawa Abu Ubaidah telah tiba dari Bahrain dengan membawa perbendaharaan!

    Mereka menjawab: Benar, wahai Rasulullah!

    Baginda bersabda (mafhumnya): Bergembiralah kamu semua dan bolehlah mengharapkan sesuatu yang akan menyenangkan kamu semua. Demi Allah, bukanlah kefakiran yang saya takutkan menimpa kamu semua, tetapi saya takut jika harta dunia ini diluaskan untuk kamu semua, sebagaimana diluaskan untuk umat-umat sebelum kamu, kemudian kamu saling berlumba-lumba untuk mencarinya sebagaimana mereka juga berlumba-lumba untuk mengejarnya, lalu harta dunia menghancurkan kamu sebagaimana ia telah menghancurkan mereka. (Hadis muttafaq alaih [disepakati ke atasnya – disebutkan dalam Sahih al-Bukhari & Muslim], menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 349)

    HURAIAN

    Antara huraian diberikan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya ialah mengenai Bahrain, dinamakannya nama itu “kerana menyatukan antara laut air tawar dan air masin”. “Air tawar berada di bawah laut. Apabila pemisah di antara keduanya digali, maka air tawar akan muncul dan naik ke permukaan.”

    Dijelaskan juga bahawa, Ibnu Batthal berkata: Hadis ini menunjukkan bahawa bagi orang yang dibukakan baginya kemegahan dunia, seharusnya waspada akan akibat dan keburukan fitnahnya.

  • Jenazah bersuara apabila dibawa ke perkuburan

    Daripada Abu Said al-Khudri RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Apabila jenazah diletakkan dan orang-orang atau para lelaki memikulnya di atas leher-leher mereka, maka jika jenazah itu soleh ia berkata: Segerakanlah aku! Segerakanlah aku! Tetapi jika jenazah bukan orang soleh, maka ia berkata: Aduhai, ke mana mereka membawanya? Suaranya didengari setiap sesuatu kecuali manusia, kerana jika manusia mendengarnya pasti pengsan. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 339

  • Baik sangka dengan Allah

    Daripada Jabir bin Abdillah RA bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda tiga hari sebelum wafatnya: Janganlah seseorang daripada kamu mati melainkan dia berbaik sangka dengan Allah (Azza wa Jalla). (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi anjuran untuk berbaik sangka kepada Allah serta memberi peringatan daripada berputus asa di akhir hayat. Firman-Nya yang diberikan maksud: “Dan janganlah kamu mati, melainkan dalam keadaan muslim.” (Surah Ali-Imran, ayat 102)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 337

  • Allah terima taubat siang dan malam

    Daripada Abu Musa RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah Taala membentangkan tangan-Nya (rahmat-Nya) pada waktu malam supaya orang yang melakukan keburukan di siang hari dapat bertaubat, serta membentangkan tangan-Nya (rahmat-Nya) di siang hari, supaya orang yang melakukan keburukan pada malam dapat bertaubat. Hal ini berlaku terus sampai terbit matahari dari arah barat. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Dalam hadis mengandungi pesanan bahawa Allah menerima taubat hamba-Nya pada malam dan siang selagi matahari belum terbit dari arah barat.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 331

  • Apakah dua hal yang pasti?

    Daripada Jabir RA berkata: Seorang Arab pedalaman datang kepada Nabi SAW, lalu berkata: Wahai Rasulullah, apakah dua hal yang pasti itu? Baginda bersabda: Sesiapa mati tidak menyekutukan Allah, dengan sesuatu pun, maka dia masuk syurga. Dan sesiapa mati sedang dia menyekutukan Allah dengan sesuatu, dia masuk neraka. (Hadis riwayat Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini sebagai khabar gembira kepada orang yang mengesakan Allah dan khabar duka bagi orang menyekutukan Allah.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 316

  • Allah reda siapa memuji-Nya apabila makan, minum

    Daripada Anas RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah pasti meredai seorang hamba yang makan makanan maka dia memuji-Nya atas makanan itu ataupun dia minum minuman maka dia memuji-Nya atas minuman itu. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Hadis menerangkan kemurahan yang lebih daripada Allah yang memberikan kurniaan kepada hamba-Nya dengan rezeki, justeru apabila hamba-Nya memuji-Nya, maka Dia meredainya.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 331