Hadis

  • Pandang pada hati

    Daripada Abu Hurairah, Abdur Rahman bin Shakhr berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh-tubuh kamu dan tidak pula kepada bentuk rupa kamu, tetapi Dia melihat kepada hati-hati kamu. (Hadis riwayat Muslim)

    Sumber Riyadus Solihin & Penjelasannya

  • Kelebihan Mukmin

    Daripada Abu Yahya Suhaib bin Sinan berkata:

    Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sangat menakjubkan keadaan seorang Mukmin. Bahawa semua keadaannya adalah kebaikan baginya dan kebaikan itu tidak dimiliki oleh seorang pun selain orang Mukmin, iaitu apabila dia mendapat kelapangan hidup, dia bersyukur, maka hal itu adalah kebaikan baginya. Apabila dia ditimpa kesulitan, dia bersabar, maka hal itu adalah kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim)

  • Malaikat sampaikan salam

    Daripada Abdullah bin Mas’ud, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya Allah memiliki malaikat yang selalu berjalan di muka bumi, menyampaikan kepadaku salam daripada umatku. (Sunan Darimi)

  • Mohonlah keampunan

    Daripada al-Agharr bin Yasar al-Muzani berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Wahai manusia! Bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah keampunan kepada-Nya, kerana sesungguhnya saya bertaubat dalam sehari 100 kali.” (Riwayat Muslim)

    Huraian

    — Dalam hadis ini juga dijelaskan mengenai kewajipan bertaubat, istighfar dan sentiasa istiqamah melakukan hal itu di setiap waktu dan keadaan.

  • Tak mampu, usah jadi pemimpin

    Daripada Abu Dzar RA, dia berkata: “Rasulullah SAW bersabda kepadaku: Wahai Abu Dzar! Aku melihatmu lemah dan aku menginginkan untukmu seperti yang aku inginkan untuk diriku. Janganlah kamu menjadi pemimpin di antara dua orang dan jangan kamu mengurus harta anak yatim.” (Riwayat Muslim)

    Huraian

    — Hadis ini menerangkan orang yang tidak mampu menunaikan hak kepimpinan dan melakukan urusannya, maka dia tidak boleh menerimanya. Demikian juga halnya dengan orang yang tidak mampu mengurus dengan baik harta anak yatim.

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya

  • Mohon ampun

    Daripada Abu Hurairah berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Demi Allah, sesungguhnya saya memohon ampunan kepada Allah dan bertaubat kepadanya dalam sehari lebih daripada 70 kali.” (Riwayat Bukhari)

    Huraian:

    — Dalam hadis ini terdapat motivasi kepada umat untuk bertaubat dan istighfar (memohon keampunan).

    Ibnu Battal berkata: Kalangan nabi adalah orang-orang yang paling bersungguh-sungguh dalam beribadat sebab pengetahuan yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka. Maka, mereka sentiasa bersyukur kepada-Nya dan mengakui kekurangan mereka.

  • Tiga penyelamat selepas mati

    Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Apabila mati anak Adam, terputus amalannya, melainkan daripada tiga (hal): Sedekah jariah atau ilmu yang memberikan manfaat dengannya ataupun anak soleh yang mendoakannya. (Riwayat Muslim)

  • Malu

    Daripada Ibnu Umar RA, bahawa Rasulullah SAW pernah menemui seorang lelaki daripada golongan Ansar yang ketika itu sedang menasihati saudaranya lantaran sikap malunya. Maka, Rasulullah SAW bersabda: Biarkan dia, kerana sesungguhnya malu (bahagian)  daripada keimanan.” (Sahih Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmidzi dan Nasai)

    Sumber Riyadus Solihin & Penjelasannya​

  • Kelebihan menyambung ikatan keluarga

    Daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa ingin diluaskan rezekinya dan diakhirkan ajalnya, maka hendaklah dia menyambung ikatan kekeluargaannya.” (Sahih Bukhari, Muslim dan Abu Daud)\

    Huraian

    — Hadis ini menunjukkan perihal menyambung ikatan kekeluargaan dapat menambahkan rezeki dan usia dengan mendapat pertolongan dan keberkatan.

    Sumber Riyadus Solihin dan Penjelasannya

  • Anak yang celaka

    Daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu (RA) meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: “Celaka, celaka, sekali lagi celaka (maksudnya sangat hina) orang yang sempat menemui orang tuanya sampai usia tua, seorang daripada kedua-duanya ataupun kedua-duanya, tetapi orang terbabit tidak dapat masuk syurga.” (Riwayat Muslim)

    Huraian

    — Hadis ini memberi amaran kepada anak agar berbakti kepada orang tuanya apabila mereka sampai usia tua.

    Sumber Riyadus Solihin dan Penjelasannya