Hadis

  • Air panas dituangkan ke kepala ahli neraka

    Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bercerita mengenai ahli neraka (ertinya):

    Sesungguhnya air amat panas benar-benar akan dituangkan ke atas kepala salah seorang daripada mereka. Maka, air itu menembus dari atas kepalanya sampai ke rongga perut, maka hancur luluh apa pun yang ada di dalam perut, kemudian keluar melalui kedua-dua belah tapak kaki.

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, 431

  • Kedengaran batu dilemparkan ke neraka

    Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: Adalah kami bersama Rasulullah SAW. Tiba-tiba kami mendengar bunyi gemuruh.

    Maka, Nabi SAW bertanya: Tahukah kamu sekalian, (bunyi) apakah ini?

    Kami menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.

    Baginda bersabda: Ini adalah seketul batu yang dilempar ke dalam neraka jahannam sejak tujuh puluh tahun lalu dan sekarang baru sampai ke dasarnya.

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, 426

  • Ucapan menyebabkan masuk neraka

    Muslim meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya seseorang mengucapkan kata-kata yang tidak jelas apa ertinya, maka kata-kata itu menyebabkan dia masuk ke neraka lebih jauh daripada jarak di antara timur dan barat.

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, 426

  • Neraka bernafas dua kali setahun

    Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, Nabi bersabda (mafhumnya): Neraka mengadu kepada Tuhannya lalu berkata: Wahai Tuhanku, sebahagianku memakan bahagian yang lain, maka buatlah aku bernafas. Maka, Allah mengizinkan ia bernafas dua kali dalam setahun. Maka, hawa paling sejuk yang kamu rasakan adalah daripada sejuknya jahannam yang amat sangat, dan hawa paling panas yang kamu rasakan adalah daripada panasnya jahannam.

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, 423

  • Otak mendidih

    Al-Bukhari meriwayatkan: Daripada Abu Said al-Khudri, bahawa nama Abu Talib pernah disebut-sebut di hadapan Rasulullah, baginda bersabda (mafhumnya): Mudah-mudahan syafaatku bermanfaat baginya pada hari kiamat, sehingga Allah meletakkannya pada neraka yang dangkal, yang mencapai buku lalinya dan menyebabkan isi otaknya mendidih.

    Menurut riwayat Muslim: Daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah bersabda (mafhumnya): Penghuni neraka yang paling ringan azabnya mengenakan kasut daripada api, yang menyebabkan otaknya mendidih, terlalu panasnya.

    Al-Bukhari meriwayatkan pula: Bahawa perawi (periwayat) hadis ini berkata: Aku mendengar an-Nu’man mengatakan: Aku mendengar Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya penghuni neraka yang paling ringan azabnya pada hari kiamat adalah seorang yang diletakkan pada lekukan kedua-dua belah tapak kakinya bara api, yang menyebabkan otaknya mendidih.

    Al-Bukhari juga meriwayatkan: Daripada an-Nu’man bin Basyir RA, dia berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya penghuni neraka yang paling ringan azabnya pada hari kiamat adalah seseorang yang pada lekukan kedua-dua belah tapak kakinya diletakkan dengan bara, lalu otaknya mendidih seperti mendidihnya kuali dan periuk.

    Muslim juga meriwayatkan: Daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah bersabda (mafhumnya): Penghuni neraka yang paling ringan azabnya pada hari kiamat adalah Abu Talib. Dia mengenakan sepasang kasut yang menyebabkan otaknya mendidih.

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, 422 & 423

  • Api neraka melebihi 69 kali ganda

    Malik meriwayatkan dalam al-Muwatha: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Api untuk bani Adam yang kamu nyalakan ini adalah satu pertujuh puluh daripada api jahannam.

    Maka, mereka (sahabat) berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya api ini benar-benar sudah cukup (panas).

    Baginda bersabda: Sesungguhnya api jahannam melebihinya dengan 69 kali ganda.

    Menurut riwayat Ahmad daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW bahawa baginda bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya apimu ini adalah satu pertujuh puluh daripada api jahannam. Ia telah dicuci dua kali di laut. Kalau tidak, maka Allah tidak memberi manfaat apa-apa padanya kepada sesiapa pun.

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, 421

  • Rupa penghuni syurga

    Imam Ahmad dan ath-Thabrani – lafaz hadis ini menurut ath-Thabrani – meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Penghuni syurga masuk (ke sana) dalam keadaan masih muda, berkulit putih, berambut ikal, bercelak mata, sebaya dengan anak seusia tiga puluh tiga tahun, bentuk mereka seperti Adam, iaitu setinggi enam puluh hasta dengan lebar tujuh hasta.

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, 391

  • Tiga catatan di sisi Allah

    Imam Ahmad meriwayatkan daripada Aisyah, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Catatan-catatan amalan di sisi Allah ada tiga jenis: Catatan yang tidak dipedulikan Allah sedikit pun, catatan yang tidak dibiarkan Allah sedikit pun dan catatan yang tidak diampuni Allah. Adapun catatan yang tidak diampuni Allah adalah syirik.


    Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya sesiapa menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah mengharamkan kepadanya syurga.” (Maksud yang terkandung pada ayat 72, surah al-Maidah)

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, 355 & 356

  • Dialog dengan Tuhan Maha Kuasa

    Daripada Adi bin Hatim, daripada Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda (mafhumnya): Setiap seorang daripada kamu sekalian benar-benar akan berdiri di hadapan Allah tanpa hijab yang menghalangnya dari Tuhannya dan tanpa jurubahasa menterjemahkan untuknya.

    Allah bertanya: Tidakkah Aku telah memberimu harta?
    Benar, jawab orang itu.

    Allah bertanya pula: Tidakkah Aku telah mengutuskan kepadamu seorang rasul?
    Benar, jawab orang itu.

    Lalu, dia (orang itu) memandang sebelah kanannya, maka dia tidak melihat kecuali neraka. Dan dia memandang pula ke sebelah kirinya, maka dia tidak melihat melainkan neraka.

    (Oleh kerana itu), hendaklah setiap orang daripada kamu sekalian menjaga dirinya dari neraka, walaupun dengan (bersedekah) separuh buah kurma. Dan jika itu pun tiada, maka dengan kalimat (perkataan, ucapan) yang baik. (Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, 351

  • Sesetengah orang diusir kerana perbuatan mereka

    Al-Bukhari meriwayatkan daripada Asma binti Abu Bakar, Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya aku (akan menunggu) di perigi, sehingga aku boleh melihat sesiapa yang datang kepadaku daripada kamu sekalian. Dan akan ada sesetengah orang yang diusir daripadaku, maka aku berkata: Wahai Tuhanku, mereka daripada golonganku, mereka daripada umatku.

    Lalu dibantah: “Adakah kamu tahu apa yang telah mereka lakukan sepeninggalanmu? Demi Allah, mereka selalu berbalik ke belakang (murtad).”


    Ibnu Abi Malikah selalu berdoa: Wahai Allah, kami berlindung kepada-Mu daripada berbalik ke belakang (murtad) atau terkena bencana mengenai agama kami.

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, 292/293