Hadis

  • Andai dapat dipetik anggur

    Rasulullah SAW pernah menceritakan pada saat melakukan solat Khusuf (gerhana matahari) bahawa syurga dan neraka diperlihatkan kepada baginda. Ketika syurga ada berdekatan baginda, maka baginda hendak mengambil beberapa petik anggur, yang andaikan waktu itu baginda berjaya mengambilnya, “nescaya kamu akan dapat memakannya selama dunia masih berkembang,” demikian kata baginda.

    Huru-hara Hari Kiamat, Ibn Katsir, 570

  • Berkat bersuci dengan sempurna

    Rasulullah pernah berkata kepada Bilal: Aku masuk syurga, maka terdengar olehku suara gesekan kasutmu di hadapanku dalam syurga itu. Dari itu, beritahulah aku, amalan apakah yang paling kamu harapkan (manfaatnya), yang telah kamu lakukan dalam Islam?

    Bilal berkata: Tiada amalan yang telah aku lakukan dalam Islam, yang lebih aku harapkan manfaatnya, selain bersuci dengan sempurna, siang ataupun malam, lalu aku solat dengan wuduk itu sebanyak-banyaknya yang telah ditetapkan oleh Allah untukku.

    Rasulullah memberitahu pula kepadaku, kata Jabir ‘mengenai Rumaisa’ bahawa baginda melihatnya dalam syurga.

    Demikian (apa yang difahami) menurut hadis dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim; daripada Jabir bin Abdullah.

    Huru-hara Hari Kiamat, Ibn Katsir, 570

  • Inilah Kautsar

    Dalam Sahih Muslim ada riwayat: Daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ketika aku berjalan dalam syurga, maka terlihatlah olehku sebatang sungai yang kedua-dua tepinya berupa kubah-kubah mutiara berongga. Aku bertanya, “apa ini?” Maka, jawab Jibril, “inilah Kautsar yang Tuhan berikan kepadamu”.

    Dalam manaqib (biografi) Umar RA, disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Aku dimasukkan ke dalam syurga, maka aku melihat seorang wanita sedang berwuduk dalam sebuah istana. Aku bertanya kepada dia: “Kamu ini milik siapa?” Wanita itu menjawab: “Aku milik Umar bin Khattab RA.” Aku hendak masuk ke dalam istana itu, kata Rasul, tetapi teringat oleh aku kecemburuanmu. (Mendengar itu) Umar RA menangis, lalu berkata: Layakkah saya mencemburui anda, wahai Rasulullah!

    Hadis ini ada dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim, diriwayatkan daripada Jabir RA.

    Huru-hara Hari Kiamat, Ibn Katsir, 569-570

  • Sungguh beruntung orang beriman

    Disebutkan dalam satu hadis yang diriwayatkan secara marfu’ daripada Abu Hurairah: Setelah Allah menciptakan syurga, maka berfirman kepada Jibril: “Pergilah kamu memeriksa syurga…”

    Disebutkan pada hadis lain: Setelah Allah menciptakan syurga, maka berfirman kepadanya: “Berkatalah.” Syurga pun berkata: “Sungguh, beruntunglah orang-orang yang beriman.”

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 568-569

  • Apabila meninggal dunia diperlihatkan tempat duduknya

    Dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim, ada riwayat: Daripada Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya apabila seorang daripada kamu sekalian telah meninggal dunia, maka diperlihatkan kepadanya tempat duduknya pada waktu pagi dan petang. Jika dia tergolong penghuni syurga, maka tempat duduknya itu tempat duduk penghuni syurga. Jika dia tergolong penghuni neraka, maka tempat duduknya itu tempat duduk penghuni neraka. Lalu dikatakan: “Inilah tempat dudukmu, (tunggulah) sampai Allah membangkitkan kamu pada hari kiamat.”


    Dalam Sahih Muslim, ada riwayat daripada Ibn Mas’ud RA: Roh-roh para syuhada ada dalam tembolok burung berwarna hijau, yang dibiarkan berkeliaran dalam syurga sekehendaknya, kemudian roh-roh itu masuk ke dalam lampu-lampu yang tergantung pada arasy.

    Dalam hadis Muttafaq Alaih terdahulu: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, dinyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Syurga dikelilingi dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan, sedangkan neraka dikelilingi dengan berbagai-bagai kesenangan.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 568

  • Ada yang masuk syurga tanpa hisab, tanpa azab

    Diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim: Daripada Ibnu Abbas, daripada Nabi SAW. Baginda bersabda: Telah diperlihatkan kepadaku berbagai-bagai umat. Aku melihat seorang nabi diikuti beberapa orang, seorang nabi lain diikut seorang dan dua orang, dan seorang nabi lain tidak diikut seorang pun. Kemudian, nampaklah sekumpulan orang ramai, kukira (aku sangka) mereka umatku, ternyata dijelaskan kepadaku; “ini adalah Musa AS dan kaumnya, tapi lihatlah ke ufuk itu”. Aku pun melihat, maka nampaklah olehku segolongan manusia yang sangat ramai. Lalu dijelaskan kepadaku; “inilah umatmu, antara mereka ada 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab dan tanpa diazab (terlebih dulu).”


    Menurut riwayat Muslim: Daripada Imran bin Husain, Rasulullah SAW bersabda: Daripada umatku ada 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab dan azab.

    Nabi ditanya: Siapakah mereka?

    Baginda menjawab: Mereka adalah orang-orang yang tidak bergantung kesembuhan penyakitnya pada perubatan azimat, tidak pernah meramal nasib buruk dan hanya kepada Tuhan mereka berserah diri.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 565-566

  • Golongan masuk syurga, wajah mereka bersinar bagai bulan malam purnama

    Dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada diriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Daripada umatku ada satu golongan yang masuk syurga, mereka ada 70,000 orang, wajah mereka bersinar bagaikan bulan pada malam purnama.

    Lalu, berdiri Ukasyah bin Muhsin (al-Asadi, sambil menyerahkan secarik kain wol bergaris) dia berkata: Wahai Rasulullah, doakan saya kepada Allah supaya menjadikan saya tergolong mereka.

    Rasulullah pun mendoakan dia agar Allah menjadikannya tergolong mereka.

    Dan tiba-tiba berdiri pula seorang lain daripada kaum Ansar, lalu berkata: Wahai Rasulullah, doakan saya juga kepada Allah agar menjadikan tergolong mereka.

    Baginda bersabda: Kamu didahului oleh Ukasyah.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 565

  • Sebaik-baik generasi

    Dinyatakan dalam sahih al-Bukhari dan Muslim: “Sebaik-baik masa adalah masa (hidup) ku, kemudian generasi berikutnya, kemudian generasi berikutnya lagi. Sesudah itu datang suatu kaum di bawah matahari – atau langit – yang bernazar tetapi tidak ditunaikannya, bersyahadah tetapi enggan mati syahid, berkhianat dan tidak boleh dipercayai.” (Hadis riwayat Bukhari 5/2, dan Muslim dalam sahihnya 2/271)

    Memang begitu, bahawa sebaik-baik umat ini adalah angkatan (generasi) pertama yang terdiri daripada para sahabat Rasulullah sebagaimana dinyatakan oleh Ibnu Mas’ud RA: “Sesiapa antara kamu sekalian mahu mengikut, maka ikutlah angkatan yang sudah meninggal iaitu para sahabat Nabi Muhammad SAW. Antara umat ini, merekalah yang hatinya paling beriman, ilmunya paling agung dan paling sedikit mengada-adakan. Mereka adalah kaum yang telah dipilih Allah untuk menemani Nabi-Nya dan menolong agama-Nya. Akuilah kedudukan mereka dan ikutlah mereka. Sesungguhnya mereka sentiasa berpegang pada petunjuk yang lurus.”

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 564-565

  • Orang lemah tertindas penghuni syurga, orang kasar sombong penghuni neraka

    Dalam sahih al-Bukhari dan Muslim ada riwayat: Daripada Haritsah bin Wahab. Nabi SAW bersabda: Tidakkah aku beritahu kepadamu sekalian siapa penghuni syurga? Iaitu setiap orang lemah yang tertindas. Namun jika dia bersumpah atas nama Allah, nescaya dia tunaikan sumpahnya. Dan tidakkah aku beritahu kepadamu sekalian siapa penghuni neraka? Iaitu setiap orang yang kasar dan sombong.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 564

  • Selisih waktu masuk syurga antara orang fakir dan orang kaya

    Dalam Musnad Imam Ahmad, Jami’ at-Tirmidzi dan sunan Ibnu Majah, ada diriwayatkan secara marfu’: Daripada Abu Hurairah RA: Muslimin yang fakir masuk syurga lebih dahulu daripada mereka yang kaya dengan selisih setengah hari, iaitu lima ratus tahun.

    Sanad hadis ini sesuai syarat Muslim dan menurut at-Tirmidzi darjatnya hasan sahih.

    Menurut riwayat Muslim: Daripada Abdullah bin Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang-orang fakir daripada Muhajirin (masuk syurga) mendahului orang-orang kaya pada hari kiamat dengan selisih empat puluh kali musim gugur.

    Sumber: Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 563