Hadis

  • Neraka dilitupi dengan pelbagai syahwat

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Neraka dilitupi dengan pelbagai syahwat, sedangkan syurga dilitupi dengan pelbagai hal tidak disenangi. (Muttafaq alaih — Sahih al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, 114

  • Orang Mukmin kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Orang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada orang Mukmin yang lemah.

    Tetapi masing-masing daripada kedua-duanya mempunyai sisi kebaikan.

    Berlumbalah untuk meraih apa saja yang dapat memberikan manfaat padamu dan mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah berasa lemah.

    Apabila sesuatu menimpamu, maka janganlah kamu berkata “kalau saya melakukan begini, tentu akan menjadi begini dan begini”. Tetapi katakanlah takdir Allah. Dan Dia melakukan apa saja yang Dia kehendaki, kerana sesungguhnya ucapan “kalau” membuka jalan amalan syaitan. (Hadis diriwayatkan Muslim)

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, 114

  • Qiyamullail sampai telapak kaki pecah-pecah

    Daripada Aisyah RAnha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melakukan qiyamullail di sebahagian waktu malam sampai kedua-dua telapak kakinya pecah-pecah.

    Lantas saya bertanya kepadanya: Mengapa anda berbuat demikian, wahai Rasulullah, padahal Allah telah mengampunkan dosa-dosa anda yang telah lalu dan yang kemudian?

    Rasulullah SAW bersabda: Apakah saya tidak suka jika saya menjadi seorang hamba yang banyak bersyukur? (Muttafaq alaih — Sahih al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, 113

  • Dua nikmat selalu dilalaikan manusia

    Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Rasulullah SAW bersabda; dua nikmat yang sering dilalaikan pada kedua-duanya oleh ramai daripada manusia; (iaitu) kesihatan dan kelapangan (waktu). (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 112

  • Rasulullah menyerahkan bendera kepada Ali

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada hari perang Khaibar: “Sungguh bendera ini akan aku berikan kepada seorang lelaki yang mencintai Allah dan Rasul-Nya. Allah akan membebaskan melalui dua tangannya.”

    Umar RA berkata: Saya tidak menginginkan kepemimpinan melainkan pada hari itu, kemudian saya bersikap untuk menonjolkan diri pada Nabi SAW dengan harapan agar saya dipanggil untuk memegang bendera itu.

    Tiba-tiba Rasulullah SAW memanggil Ali bin Abu Talib, lalu baginda memberikan bendera itu padanya dan baginda bersabda: Berjalanlah dan jangan menoleh-noleh lagi sehingga Allah memberi kemenangan melalui dirimu.

    Ali berjalan beberapa langkah kemudian berhenti tanpa menoleh, kemudian dia berteriak (bersuara): Wahai Rasulullah, sampai batas apa saya akan memerangi para manusia?

    Rasulullah SAW menjawab: Perangilah mereka sehingga mereka bersaksi bahawa tiada sembahan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah. Apabila mereka telah melakukan hal itu, maka bererti mereka telah menjaga darah mereka daripadamu dan harta mereka, melainkan dengan haknya, sedang hisab mereka itu atas Allah (bergantung pada Allah). (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 110

  • Segera melakukan amalan kebaikan sebelum datang tujuh perkara

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Bersegeralah kamu sekalian melakukan amalan kebaikan sebelum datang tujuh macam perkara. Apakah kamu masih saja menunggu-nunggu sehingga kamu mengalami kefakiran yang melalaikan, atau kekayaan yang menyebabkan kecurangan, atau terkena penyakit yang merosakkan, atau tibanya usia tua yang menyebabkan ucapan-ucapan yang tidak karuan lagi, atau datangnya kematian yang mempercepatkan, atau datang dajjal maka ia adalah seburuk-buruk makhluk ghaib yang ditunggu, atau tiba hari kiamat maka hari kiamat itu adalah lebih besar bencananya serta lebih pahit. (Hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dia berkata hadis ini adalah hadis [status] hasan)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 109

  • Akhlak baik bawa kebaikan dunia akhirat

    Menurut riwayat Abu Bakar an-Najjad daripada Hamid bin Anas RA: Bahawa Ummu Habibah pernah bertanya, “wahai Rasulullah, ada wanita yang semasa di dunia ini pernah bersuamikan dua orang lelaki. Dengan suami yang manakah dia akan dijodohkan?”

    Baginda menjawab, “(dia dijodohkan) dengan salah seorang daripada kedua-duanya yang akhlaknya paling baik terhadapnya semasa di dunia.”

    Baginda bersabda: Wahai Ummu Habibah, akhlak yang luhur (baik) itu membawa kebaikan di dunia dan akhirat. (Hadis diriwayatkan Muslim dan al-Bukhari)

    Huru-hara Hari Kiamat, Ibn Katsir, 572-573

  • Nescaya kamu sedikit ketawa, banyak menangis

    Dalam Sahih Muslim ada riwayat; daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Demi Allah yang menggenggam jiwaku, andai kamu dapat melihat apa yang aku lihat, nescaya kamu hanya sedikit ketawa dan banyak menangis.

    Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Apa yang anda lihat?

    Baginda menjawab: Aku melihat syurga dan neraka.

    Huru-hara Hari Kiamat, Ibn Katsir, 571

  • Orang fakir kebanyakan penghuni syurga

    Dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada riwayat: Daripada Imran bin Husain RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Aku pernah memeriksa syurga, maka kulihat kebanyakan penghuninya adalah orang-orang fakir. Pernah pula aku memeriksa neraka, maka kulihat kebanyakan penghuninya adalah wanita.

    Huru-hara Hari Kiamat, Ibn Katsir, 571

  • Kerana kucing dan dahan berduri

    Rasulullah SAW bersabda: Ada seorang wanita masuk neraka gara-gara seekor kucing. Kucing diikatnya sehingga mati. Yakni dia tidak memberinya makan dan minum, tetapi tidak juga dia lepaskan sehingga dapat memakan binatang-binatang kecil di tanah. Sesungguhnya, kulihat api itu memanggangnya sampai meleleh.

    Sebaliknya, baginda pernah bercerita tentang seorang lelaki yang menyingkirkan dahan berduri dari jalan lalu lintas orang. Baginda katakan: Aku melihatnya berteduh pada dahan itu di dalam syurga.

    Huru-hara Hari Kiamat, Ibn Katsir, 570-571