Hadis

  • Hak dipenuhi pada hari kiamat

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sungguh kamu akan memenuhi hak-hak kepada para pemiliknya kelak pada hari kiamat, sampai-sampai digiringlah kambing yang tidak bertanduk (untuk mengambil hak) daripada kambing yang bertanduk. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Kambing tidak bertanduk akan menuntut balas kepada kambing bertanduk pada hari kiamat. Selepas dibalas, haiwan-haiwan itu menjadi debu. Lantas orang-orang kafir berkata: Aduhai, andai saya juga menjadi debu.

    Peringatan bahawa orang dizalimi akan menuntut balas daripada orang berbuat zalim kelak pada hari kiamat dan dia akan diberikan haknya.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 192

  • Jaga diri daripada buat zalim, kikir

    Daripada Jabir RA: Bahawa Rasulullah SAW bersabda: Jagalah diri kamu daripada kezaliman, maka sesungguhnya kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat. Dan jagalah diri kamu daripada sifat kikir, maka sesungguhnya kikir menyebabkan kebinasaan umat sebelum kamu, (sifat itu) menyebabkan mereka saling menumpahkan darah dan menghalalkan hal-hal yang diharamkan pada diri mereka. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Istilah “syuhhu” (syin-ha) (perkataan Arab) dalam teks hadis itu ertinya kikir disertai kerakusan untuk mencari harta melalui jalan tidak diperkenankan, sebagaimana terdapat dalam hadis lain: Sesungguhnya Allah telah mengharamkan atas kamu derhaka kepada para ibu, mengubur anak perempuan, tidak memberikan hal yang wajib diberikan, dan mencari sesuatu yang diharamkan.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 191/192

  • Tanda orang munafik

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tanda-tanda orang munafik ada 3 macam:

    • Jika dia berkata, maka dia berdusta.
    • Jika berjanji, dia tidak menepati.
    • Dan jika diberi amanah, maka dia berkhianat. (Muttafaq alaih — diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini dalil semua hal itu termasuk tanda-tanda munafik.

    Dalam hadis riwayat Abdullah bin Amru disebutkan: Empat perkara apabila terdapat dalam diri seseorang, maka dia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa di dalam dirinya terdapat salah satu daripada keempat-empatnya, maka dia mempunyai salah satu sifat kemunafikan, hingga dia meninggalkannya; iaitu apabila diberi amanah dia khianat, apabila berbicara dia berdusta, apabila berdebat dia berbuat curang, dan apabila berjanji dia mengingkari.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 185

  • Akibat hanya menyuruh orang lain berbuat baik

    Daripada Abu Zaid Usamah bin Zaid bin Haritsah berkata: Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Pada hari kiamat kelak, didatangkan seorang lelaki, maka dia dilemparkan ke dalam neraka, maka keluar isi perutnya, maka dia berputar dengan isi perutnya, sebagaimana seekor keldai mengelilingi gilingan.

    Para ahli neraka berkumpul di sekelilingnya, maka mereka bertanya: Mengapa kamu ini, hai polan (seseorang tidak disebutkan nama)? Tidakkah kamu dahulu menyuruh kepada yang makruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran?

    Maka, dia (orang terbabit) berkata: Betul, saya menyuruh kepada yang makruf (kebaikan), tetapi saya sendiri tidak melakukannya, dan saya mencegah kemungkaran, tapi saya sendiri melakukannya. (Muttafaq alaih — diriwayatkan Ahmad, Tirmidzi, Ibn Majah, Abu Dawud)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengisyaratkan ancaman keras bagi orang yang ucapannya berbeza dengan perbuatannya dan seksaan bagi orang alim ketika melakukan maksiat lebih berat daripada lainnya, sebagaimana pahalanya digandakan jika dia mengamalkan ilmunya.

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, 184.

  • Apabila tidak dicegah kemungkaran

    Daripada Abu Bakar as-Siddiq RA berkata: Wahai manusia, sesungguhnya kamu tentu membaca ayat ini (bermaksud): Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu (kerana) orang yang sesat itu tidak akan membahayakan kamu apabila kamu telah mendapat petunjuk. (Al-Maidah, 105)

    Dan sungguh, saya juga mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang-orang apabila melihat orang zalim, lalu dia tidak mencegah tangannya, maka hampir saja Allah akan meratakan seksa-Nya terhadap seluruh manusia. (Hadis diriwayatkan Abu Dawud, Tirmidzi dan Nasai, dengan sanad-sanad yang sahih)

    PENJELASAN

    Maksudnya, sesungguhnya kamu semua membaca ayat ini dan kamu menganggap bahawa orang yang telah melakukan apa yang diperintahkan kepadanya serta meninggalkan apa yang dilarang pada dirinya tidak berdosa apabila tidak menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah kemungkaran. Tetapi ini (menyuruh perkara makruf, mencegah kemungkaran) adalah kewajipan sebagaimana terdapat dalam hadis yang lain: Wahai manusia, perintahlah berbuat yang makruf dan cegahlah kemungkaran sehingga ketika engkau melihat orang tamak yang dipatuhi, hawa nafsu yang diikuti, dunia yang lebih dipilih dan setiap orang mengagumi pendapatnya sendiri. Maka, berpegang teguhlah pada pendirianmu dan tinggalkan orang-orang awam.”

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, 183.

  • Jihad paling utama: Kalimat kebenaran

    Daripada Abu Abdillah Thariq bin Syihab al-Bajali al-Ahmasi bahawa ada seorang lelaki bertanya kepada Nabi SAW dan dia telah meletakkan kakinya pada pelana: Manakah jihad yang paling utama?

    Baginda menjawab: Kalimat kebenaran terhadap penguasa zalim. (Hadis diriwayatkan Nasai dengan isnad sahih)

    PENJELASAN

    Perbuatan itu merupakan jihad paling utama kerana perbuatan itu menunjukkan kesempurnaan keyakinan serta kuat keimanannya, kerana dia menyampaikan kebenaran di hadapan penguasa zalim dan tidak takut hukuman daripada penguasa terbabit, bahkan dia menyerahkan dirinya dan mendahulukan perintah Allah.

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, 180/ 181.

  • Jihad paling utama: Kalimat keadilan

    Daripada Abu Said al-Khudri RA, meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Jihad paling utama ialah kalimat keadilan terhadap penguasa zalim. (Hadis diriwayatkan Abu Dawud dan Tirmidzi. Tirmidzi berkata hadis ini hasan)

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, 180.

  • Punca doa tidak diterima

    Daripada Hudzaifah meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman kekuasaan-Nya, perintahkanlah oleh kamu dengan kebaikan dan cegah kemungkaran atau jika tidak, maka sungguh hampir-hampir saja Allah akan menurunkan seksa kepada kamu, kemudian kamu berdoa kepada-Nya, tetapi doa kamu tidak akan diterima. (Hadis diriwayatkan oleh Tirmidzi. Dia berkata hadis ini [status] hasan)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengisyaratkan apabila kemungkaran tidak diingkari, maka kesialan akan menyeluruh berupa kezaliman penguasa atau dikuasai musuh dan sebagainya.

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, 180.

  • Seburuk-buruk penggembala tiada belas kasihan

    Daripada Abu Said al-Hasan al-Basri meriwayatkan bahawa Aidz (baca ‘Aa-idz) bin Amr masuk ke tempat Ubaidullah bin Ziyad, maka berkata: Hai anakku, saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya seburuk-buruk penggembala (pemelihara) ialah orang tidak memiliki belas kasihan, maka janganlah kamu termasuk golongan mereka.

    Maka (selanjutnya Ubaidullah bin Ziyad) berkata kepadanya: Duduklah, sesungguhnya kamu termasuk sisa-sisa daripada golongan sahabat Muhammad SAW.

    Maka dia (Aidz) berkata: Apakah dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW ada yang termasuk golongan sisa-sisa? Yang termasuk sisa-sisa semestinya ialah orang-orang pada masa selepas mereka (sahabat) dan yang bukan daripada mereka (sahabat). (Diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Perintah terhadap pemimpin untuk melakukan perkara makruf (baik) dan mencegah mereka daripada kemungkaran secara halus.

    Hadis ini juga menggambarkan keutamaan para sahabat.

    Dalam satu hadis yang masyhur disebutkan: Para sahabatku bagaikan bintang-bintang. Kepada siapa pun daripada mereka yang kamu ikuti, maka mendapat petunjuk.

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, 179/180.

  • Bara api di tangan

    Daripada Ibnu Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melihat cincin emas pada jari seorang lelaki, lalu baginda melepaskannya dan melemparkannya, dan bersabda: Seorang daripada kamu sengaja mencari bara api dari neraka, lalu dia menjadikannya di tangannya.

    Maka, setelah Rasulullah SAW pergi dikatakan kepada lelaki terbabit: Ambillah cincinmu, manfaatkan dengannya.

    Lelaki terbabit menjawab: Tidak, demi Allah, saya tidak akan mengambilnya selama-lamanya. Sesungguhnya ia telah dilemparkan oleh Rasulullah SAW. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 179.