Daripada Abdullah bin Amru bin Al-As RA berkata: Seorang lelaki menghadap Rasulullah SAW, lalu dia berkata: Saya berbaiah kepada anda untuk ikut berhijrah serta berjihad yang saya niatkan untuk mencari pahala daripada Allah Taala.
Baginda berkata: Apakah salah seorang daripada kedua-dua orang tuamu masih ada yang hidup?
Dia menjawab: Ya, bahkan kedua-duanya masih hidup.
Baginda bersabda: Apakah maksudmu hendak mencari pahala daripada Allah Taala?
Dia menjawab: Ya.
Baginda bersabda: Maka, kembalilah ke tempat kedua-dua orang tuamu, lalu berbuat baiklah dalam mendampingi kedua-duanya. (Muttafaq alaih, sahih al-Bukhari & Muslim – redaksi hadis milik Imam Muslim)
Dalam riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim lainnya disebutkan: Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW, lalu dia meminta izin kepada baginda untuk ikut berjihad, lantas Nabi SAW bertanya: Apakah kedua-dua orang tuamu masih hidup? Dia menjawab: Ya. Nabi SAW bersabda: Maka, berjihadlah pada kedua-duanya.
Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 256
HURAIAN
Hadis ini menggambarkan keutamaan orang tua dan berbuat baik kepada mereka. Orang tua ertinya ibu bapa iaitu mereka yang membesarkan kita, menjaga kita dan mendidik kita, maka selayaknya mereka dilayani dengan sebaik-baiknya.
