Hadis

  • Sikap pemurah Rasulullah memberikan kambing di antara dua bukit

    Daripada Anas (RA), dia berkata: Tidaklah diminta kepada Rasulullah (SAW) sesuatu atas Islam melainkan baginda memberikannya. Dan pernah ada seorang lelaki datang kepadanya, maka baginda memberikannya kambing di antara dua bukit. Maka, lelaki itu pulang kepada kaumnya. Maka, dia berkata: Wahai kaum, masuklah Islam, maka sesungguhnya Muhammad memberi pemberian seperti orang yang tidak takut fakir. Walaupun lelaki itu masuk Islam tidaklah dia kehendaki melainkan dunia. Maka hanya sebentar sahaja Islam menjadi lebih dicintainya daripada dunia dan apa yang ada di atasnya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini menunjukkan bolehnya memberikan suatu pemberian kepada orang yang hendak dijinakkan hatinya agar mereka tertarik masuk Islam,

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 402

  • Kelusuhan daripada iman

    Daripada Abu Umamah Iyas bin Tsa’labah al-Ansoriyyi al-Haritsi (RA) berkata: Suatu hari para sahabat Rasulullah (SAW) menyebut-nyebut dunia di sisi baginda. Maka, Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Tidakkah kamu mendengar? Tidakkah kamu mendengar? Sesungguhnya kelusuhan daripada iman, sesungguhnya kelusuhan daripada iman, yakni orang kering kulitnya. (Diriwayatkan oleh Abu Daud)

    HURAIAN

    Badzadzah (ba-za-alif-za-ta bulat) dalam teks hadis itu diterjemahkan sebagai keadaan orang yang berpakaian usang dan meninggalkan baju kebanggaan. – Riyadus Solihin & Penjelasannya

    taqahhul (ta-qaf-ha-lam) diterjemahkan sebagai orang yang kering kulitnya kerana hidup kasar dan meninggalkan kemewahan. – Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Kelusuhan termasuk bahagian daripada iman kerana dapat menundukkan jiwa dan memicu bersikap tawaduk.

    Nabi ISA (AS) berkata: Keindahan pakaian adalah kesombongan hati.

    Ali (RA) pernah dicela kerana memakai kain yang bertambal, maka beliau berkata: Semua ini supaya dapat diteladani orang Mukmin dan menjadikan hati khusyuk.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 380.

  • Pembuka solat

    Muhammad bin Amru bin ‘Atho berkata: Aku mendengar Abu Humaid as-Sa’idiyy berkata: Adalah Rasulullah SAW apabila bangun untuk mendirikan solat, baginda menghadap kiblat dan mengangkat kedua-dua tangannya, dan baginda mengucapkan “Allahu Akbar”.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 136

  • Membaca Fatihatul Kitab

    Daripada ‘Ubadah bin as-Somit, bahawa Nabi SAW bersabda: Tiada solat bagi sesiapa tidak membaca padanya (solat) dengan Fatihatul Kitab (Al-Fatihah).

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 139

  • Pembuka bacaan

    Daripada Aisyah, dia berkata: Adalah Rasulullah SAW membuka bacaan dengan Alhamdulillahi rabbil ‘alamin.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 139

  • Ikut imam dalam solat

    Daripada Abu Hurairah, dia berkata: Adalah Rasulullah SAW mengajarkan kami agar kami tidak mendahului imam dengan rukuk dan sujud. Dan apabila dia (imam) bertakbir, maka bertakbirlah kamu, dan apabila dia sujud, maka sujudlah kamu.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 162

  • Rukuk dalam solat

    Daripada Aisyah, dia berkata: Adalah Rasulullah SAW apabila rukuk, baginda tidak mengangkat kepalanya dan tidak merendahkannya, akan tetapi antara yang demikian itu.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 146

  • Kelebihan solat Isyak, Fajar

    Daripada Aisyah dia berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sekiranya manusia mengetahui pahala yang ada pada solat Isya dan solat Fajar, nescaya mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 135

  • Bandingan dunia dan akhirat

    Daripada al-Mustaurid bin Syaddad RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tidaklah dunia (dibandingkan) dengan akhirat melainkan umpama seorang daripada kamu mencelupkan jarinya dalam lautan, lalu lihatlah apa yang masih tersisa. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim, disebutkan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 351)

    HURAIAN

    Nabi SAW membuat perumpamaan masa di dunia dibandingkan masa di akhirat serta kenikmatannya bagaikan air yang melekat pada jari dari air laut. Allah berfirman, maksudnya: Maka, tidaklah kesenangan hidup di dunia ini dibandingkan dengan akhirat melainkan sedikit. (Surah at-Taubah, ayat 38)

  • Tiga mengikuti mayat: Dua kembali, satu tetap bersamanya

    Daripada Anas RA, daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda (mafhumnya): Ada tiga hal yang mengikuti mayat; keluarganya, hartanya dan amalannya. Dua hal kembali dan yang satu tetap bersamanya. Keluarga dan hartanya kembali, sedangkan amalannya tetap bersamanya. (Hadis muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, disebutkan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 350)

    HURAIAN

    Disebutkan dalam riwayat al-Barra’: Mayat di dalam kubur akan didatangi oleh seseorang yang tampan wajahnya, bagus pakaiannya, dan harum aromanya, lalu ia berkata, bergembiralah dengan sesuatu yang menggembirakanmu. Lalu mayat bertanya, anda siapa? Ia menjawab: Saya ialah amalan perbuatanmu yang baik. (Al-hadis) – Demikian menurut yang dinyatakan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 350.