Hadis

  • Seksa akhirat melupakan nikmat dunia dan nikmat akhirat melupakan sengsara dunia

    Daripada Anas RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Kelak akan didatangkan orang yang paling mendapatkan kenikmatan di dunia dan dia termasuk golongan ahli neraka pada hari kiamat, lalu dia diceburkan dalam neraka dengan sekali ceburan, kemudian dikatakan: “Wahai anak Adam! apakah kamu pernah melihat suatu kebaikan, sekalipun sedikit? Apakah ada suatu kenikmatan yang pernah menghampirimu sekalipun sedikit?”

    Dia berkata: “Tidak, demi Allah wahai Rabb.”

    Dan, didatangkan pula orang yang paling menderita di dunia, dan dia termasuk penduduk syurga, lalu dia dimasukkan ke dalam syurga. Maka, dikatakan kepadanya: “Wahai anak Adam! Apakah kamu pernah melihat suatu kesengsaraan sekalipun sedikit? Apakah ada penderitaan yang pernah menghampirimu sekalipun sedikit?”

    Maka, dia menjawab: “Tidak, demi Allah, tidak pernah ada penderitaan pun yang menghampiri diriku dan tidak pernah saya melihat suatu kesengsaraan pun.” (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Seksaan akhirat dapat melupakan kenikmatan dunia dan kenikmatan akhirat dapat melupakan kesengsaraan dunia.

    Boleh juga lihat ayat 112-114, surah al-Mukminun dan surah Fathir, ayat 34-35.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 351

  • Kehidupan akhirat yang abadi

    Daripada Anas RA, bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Wahai Allah, tiadalah kehidupan (yang kekal) kecuali kehidupan akhirat. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    HURAIAN

    Perkataan ini disabdakan oleh Nabi SAW ketika mengalami keadaan yang sangat berat tatkala baginda memandang kelelahan para sahabatnya di saat menggali parit. Baginda juga mengatakannya dalam keadaan paling bergembira tatkala baginda melihat ramai orang mukmin pada hari arafah; “Aku penuhi panggilan-Mu, sesungguhnya tidak ada kehidupan yang kekal melainkan kehidupan di akhirat”. Maksudnya, kehidupan abadi yang tiada kesedihan dan kepayahan.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 350

  • Waspada terhadap dunia dan wanita

    Daripada Abu Said RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya dunia manis lagi hijau, dan sesungguhnya Allah Taala akan menjadikan kamu sebagai pemimpin padanya. Maka, Dia perhatikan bagaimana kamu perlakukan. Maka, waspadalah kamu terhadap dunia dan waspadalah kamu terhadap wanita. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Sabda Rasulullah SAW ‘manis dan hijau’ maksudnya dunia memadukan dua sifat yang disenangi oleh mata dan perasa, seperti buah-buahan. Dalam hadis ini terdapat peringatan daripada fitnah harta benda dan fitnah perempuan. Demikian menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 350

  • Dua dan ke atas adalah jemaah

    Daripada Abu Musa Al-Asy’ariyyi, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Dua (orang) dan apa di atas dua (orang) adalah jemaah.

    Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 164.

  • 3 tidak diterima

    Telah menceritakan kepada kami Abu Kuraib, telah menceritakan kepada kami ‘Abdah bin Sulaiman dan Ja’afar bin ‘Aun, daripada Al-Ifriqiyyi daripada ‘Imran, daripada Abdullah bin Amru, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tiga tidak diterima bagi mereka solat, seorang lelaki dia mengimamkan suatu kaum sedangkan mereka tidak menyukainya, seorang lelaki yang tidak mendatangi (melakukan) solat kecuali setelah habis waktunya, dan orang yang memperhambakan orang merdeka.

    Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 163.

  • Jangan membunyikan jari ketika solat

    Yahya bin Hakim menceritakan, Abu Qutaibah menceritakan, Yunus bin Abi Ishaq dan Israil bin Yunus, daripada Abi Ishaq, daripada Al-Harits, daripada Ali, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Janganlah membunyikan jari-jemarimu sedangkan kamu dalam solat.

    Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 163.

  • Membaca Amin

    Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Apabila qari (imam) mengaminkan, maka bacalah amin oleh kamu, maka sesungguhnya malaikat membaca amin, maka sesiapa bacaan aminnya bertepatan (serentak, bersama-sama) dengan amin malaikat, diampunkan baginya dosanya yang lalu.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 145

  • Tangan kanan, tangan kiri ketika solat

    Daripada Qabisoh bin Hulb, daripada bapanya, dia berkata: Adalah Nabi SAW mengimamkan kami, baginda memegang tangan kirinya dengan tangan kanannya.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 138

  • Pembuka solat

    Muhammad bin Amru bin ‘Atho berkata: Aku mendengar Abu Humaid as-Sa’idiyy berkata: Adalah Rasulullah SAW apabila bangun untuk mendirikan solat, baginda menghadap kiblat dan mengangkat kedua-dua tangannya, dan baginda mengucapkan “Allahu Akbar”.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 136

  • Keutamaan solat berjemaah

    Telah menceritakan kepada kami Abu Bakar bin Abu Syaibah, telah menceritakan kepada kami Abu Muawiyah daripada Al-A’masy daripada Abu Soleh daripada Abu Hurairah dia berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Solat seorang lelaki dalam jemaah lebih besar pahalanya dari solat yang dia lakukan di rumah dan pasar dengan dua puluh lebih darjat.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 134

    Telah menceritakan kepada kami Abu Marwan Muhammad bin Utsman al-Utsmani , telah menceritakan kepada kami Ibrahim bin Sa’d daripada Ibnu Syihab daripada Said bin al-Musyyab daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Kelebihan (solat) berjemaah dibandingkan solat seseorang antara kamu dengan sendirian adalah dua puluh lima bahagian.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 134