Hadis

  • Takutlah kezaliman, kikir

    Daripada Jabir (RA) bahawa Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Takutlah kezaliman. Maka, sesungguhnya kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat. Dan takutlah sifat kikir, maka sesungguhnya kikir membinasakan orang sebelum kamu, menyebabkan mereka menumpahkan darah (sesama) mereka dan mereka menghalalkan apa yang diharamkan kepada mereka. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Maksudnya mereka menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah kepada mereka, lantaran rakus terhadap harta. Misalnya mereka (kaum Yahudi) membuat muslihat terhadap apa yang diharamkan Allah kepada mereka berupa lemak-lemak yang dicairkan, kemudian dijual. Misal yang lain, orang-orang Yahudi melakukan muslihat untuk memburu ikan, lalu mereka membuat jaring (memasang jaring) pada hari Jumaat dan mengambilnya pada hari Ahad. Masih banyak bukti lain yang telah mereka lakukan berupa menghalalkan apa yang telah diharamkan kepada mereka dan menumpahkan darah sesama mereka. Itu semua dipicu oleh sifat kikir.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 409.

  • Makanan dan berkat

    Daripada Abu Hurairah (RA), dia berkata, Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Makanan untuk dua orang cukup untuk tiga orang, dan makanan tiga orang cukup untuk empat orang. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

    Dalam riwayat Muslim daripada Jabir (RA), Nabi (SAW) bersabda (mafhumnya): Makanan satu orang cukup untuk dua orang, dan makanan dua orang cukup untuk empat orang, sedang makanan empat orang cukup untuk lapan orang.

    HURAIAN

    Maksud hadis ini adalah motivasi untuk berbuat mulia dan bersikap qanaah dengan kecukupan.

    Dalam hadis diriwayatkan oleh ath-Thabrani: Makanlah kamu semua dan jangan terpecah belah, kerana makanan satu orang cukup untuk dua orang. Berdasarkan hadis ini dapat diambil kesimpulan bahawa rasa cukup itu terjadi kerana berkat kebersamaan. Setiap kali perkumpulan orang bertambah, maka bertambah pula berkatnya.

    Dalam hadis ini terdapat isyarat bahawa menolong orang lain dapat mengundang datangnya berkat.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 411.

  • Tiada hasad kecuali pada dua hal

    Daripada Ibnu Mas’ud (RA), daripada Nabi (SAW) bersabda (mafhumnya): Tiada hasad (iri hati) kecuali pada dua perkara; seorang lelaki diberikan kepadanya oleh Allah suatu harta, maka dia menghabiskannya pada kebenaran; dan seorang lelaki diberikan kepadanya oleh Allah hikmah (ilmu pengetahuan), maka dia mengadili dengannya dan mengajarkannya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim)

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 399.

  • Tangan yang di atas lebih baik

    Daripada Hakim bin Hizam (RA) bahawa Nabi (SAW) bersabda: Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah, dan mulailah dengan orang yang kamu tanggung, dan sebaik-baik sedekah adalah setelah berkecukupan. Dan sesiapa menjaga kehormatannya, Allah akan mengurniakan kehormatan kepadanya. Dan sesiapa berasa mencukupi, Allah akan membuatkannya cukup.

    HURAIAN

    Tangan di atas ialah pemberi, manakala tangan di bawah adalah orang meminta (atau menerima).

    Sebaik-baik sedekah adalah setelah berkecukupan, maksudnya yang utama setelah memenuhi hak sendiri dan tanggungan.

    Sesiapa menjaga kehormatan daripada meminta-minta kepada manusia, maka Allah akan mengurniakan kehormatan kepadanya.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 391.

  • Sederhana dalam pemakanan

    Daripada Abu Karimah Miqdam bin Ma’dikarib (RA) berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tidaklah anak Adam mengisi bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi manusia beberapa suapan yang menegakkan tulang punggungnya. Jika tidak dapat, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumnya, dan sepertiga untuk nafasnya. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dan dia berkata hadis hasan – ada juga dalam riwayat Ahmad, dan Ibnu Majah)

    HURAIAN

    Ukulaat (hamzah-kaf-lam alif- ta) diberikan maksud beberapa suapan – Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Konon kisra bertanya kepada seorang tabib (doktor): Apa itu penyakit yang tidak ada ubatnya? Lalu dijawab: Memasukkan makanan atas makanan. Kisra bertanya lagi penyelesaiannya, kemudian dijawab: Sederhana dalam segala hal. Jika dia makan melebihi kadarnya, maka dia telah menghimpit rohnya.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 379/380.

  • Kesabaran Rasulullah menahan lapar dan keutamaan isteri baginda

    Daripada Ibnu Abbas RA, dia berkata: Rasulullah (SAW) biasa tidur selama beberapa malam secara berturutan dalam keadaan lapar. Keluarga baginda tidak memiliki makan malam. Roti yang sering dimakan adalah roti gandum. (Diriwayatkan at-Tirmidzi, dan dia berkata hadis hasan sahih)

    HURAIAN

    Hadis ini antara lain menunjukkan kesabaran baginda SAW menahan lapar dan keutamaan isteri baginda yang turut bersabar bersama baginda dalam keadaan seperti itu.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 379.

  • Sikap zuhud Nabi SAW

    Daripada Anas RA, dia berkata: Nabi SAW tidak pernah makan di atas meja sehingga baginda wafat. Dan tidaklah makan roti yang dihaluskan sampai baginda wafat. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari. Ada juga dalam riwayat Ahmad)

    Dalam riwayat Imam al-Bukhari yang lain disebutkan: Baginda tidak pernah melihat kambing yang dihilangkan bulu-bulunya, lalu dibakar dengan mata kepalanya sama sekali.

    HURAIAN

    Khiwaan (kha-wau-alif-nun) dalam hadis di atas diterjemahkan sebagai tempat untuk menaruh (meletak) makanan di atasnya sehingga orang yang makan tanpa menundukkan kepalanya. Tempat ini termasuk bidaah yang diperbolehkan. – Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Khubz muraqqaq (kha-ba-zai / mim-ra-qaf-qaf) diterjemah sebagai roti yang lebar dan halus. – Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Samith (sin-mim-ya-tho) diterjemahkan sebagai haiwan yang dihilangkan bulu-bulunya, lalu dibakar dengan kulitnya. – Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 367/368.

    Daripada Sa’id al-Maqburi, daripada Abu Hurairah RA, bahawa dia pernah berjalan melalui suatu kaum yang di hadapan mereka ada seekor kambing sedang dipangggang. Maka, mereka mengajaknya, namun dia (Abu Hurairah) enggan untuk (turut) makan. Dan dia (Abu Hurairah) berkata: Rasulullah SAW keluar (meninggalkan) daripada dunia dan baginda tidak kenyang daripada roti gandum. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    HURAIAN

    Masliyyah (mim-sod-lam-ya-ta) dalam hadis itu diterjemahkan sebagai dipanggang – Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Hadis ini menunjukkan antara perilaku orang mencintai seseorang adalah mengikuti jejak orang yang dicintainya dan meneladaninya.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 367.

    Daripada Aisyah RAnha, dia berkata: Tidaklah kenyang keluarga Muhammad SAW daripada roti gandum dua hari berturut-turut, sampai baginda wafat. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    HURAIAN

    Hadis ini menggambarkan berpalingnya Nabi SAW dari dunia dan bersikap zuhud terhadap dunia.

    Di dalamnya mengandungi anjuran kepada umat baginda agar bersikap zuhud terhadap dunia dan berpaling daripada apa yang melebihi daripada keperluannya terhadap dunia.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 366.

  • Perakuan Nabi ke atas Labid

    Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Kalimah paling benar dikatakan padanya oleh seorang penyair ialah kalimah Labid. Ingatlah, segala sesuatu selain Allah adalah batil. (Muttafaq alaih – Diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Labid termasuk antara tokoh penyair jahiliyah. Dia berasal dari daerah Hawazan. Dia datang kepada Rasulullah SAW, lalu dia masuk Islam dan bagus keislamannya. Dia termasuk orang yang panjang usia. Dia hidup lebih daripada 100 tahun. Dia adalah seorang yang mulia pada masa jahiliyah dan pada masa Islam. Dia tidak menyampaikan satu syair pun setelah dia masuk Islam. Dia mengatakan: Allah telah menggantikan syair kepadaku dengan Al-Quran kecuali satu bait ini:

    “Tidak ada sesuatu yang mencela seseorang yang mulia seperti dirinya sendiri

    Seseorang diperbaiki oleh temannya yang soleh.”

    Imam Syafi’i mengungkapkan syair:

    “Seandainya syair tidak menghinakan para ulama

    Pastilah hari ini aku lebih ahli syair daripada Labid.”

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 364/365.

  • Keutamaan orang miskin

    Daripada Usamah bin Zaid RA, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Saya berdiri di pintu syurga, maka sebahagian besar orang yang memasukinya ialah orang-orang miskin, dan orang-orang yang mempunyai kekayaan semua ditahan dulu, selain penghuni-penghuni neraka telah diperintahkan dengan mereka ke neraka. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim)

    HURAIAN

    Al-Jadd (perkataan dalam hadis itu) diterjemahkan sebagai bahagian harta dan kekayaan – Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 364.

  • Dunia penjara mukmin, syurga orang kafir

    Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Dunia adalah penjara mukmin dan syurga orang kafir. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Erti hadis itu ialah dunia merupakan penjara bagi orang mukmin jika dibandingkan dengan kenikmatan yang disiapkan untuknya di akhirat, dan merupakan syurga bagi orang kafir jika dibandingkan dengan seksaan yang disiapkan untuknya di akhirat.

    Orang mukmin dilarang daripada hal pemuas nafsu yang diharamkan, sedangkan orang kafir sibuk melakukannya.

    Nabi SAW pernah bersabda (mafhumnya): “Syurga dikelilingi dengan hal yang dibenci, sedangkan neraka dikelilingi hal yang disenangi.”

    Abu Sahl Ash-Sha’luki Al-Faqih, dia termasuk antara yang menjadi pemimpin agama sekaligus pemimpin dunia. Suatu ketika dia bersama rombongannya. Tiba-tiba ada seorang Yahudi muncul di hadapannya, dengan pakaian buruk.

    Lalu, orang Yahudi itu berkata: Bukankah kamu mengaku bahawa Nabi kamu pernah berkata: “Dunia merupakan penjara orang mukmin, dan syurga orang kafir.” Padahal aku ini orang kafir dan kamu melihat sendiri keadaanku seperti ini, sedangkan kamu orang mukmin, dan kamu juga dapat melihat keadaan kamu.

    Abu Sahl berkata: Jika kelak kamu mendapatkan seksa Allah, maka keadaan ini adalah syurgamu. Dan jika kelak aku mendapatkan kenikmatan dan reda Allah, maka keadaan ini merupakan penjara bagiku.

    Orang ramai kagum pemahamannya dan mampu menjawab dengan cepat. Demikian menurut Riyadus Solihin & Penjelasannya.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 355