Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah

  • Keutamaan azan

    Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin as-Sobbah, telah menceritakan kepada kami Sufyan bin Uyainah, daripada Abdullah bin Abdur Rahman bin Abu So’so’ah daripada bapanya, dan adalah bapanya dalam asuhan Abu Said – dia berkata kepadaku: Apabila kamu berada di gurun pasir, maka tingkatkanlah suara azanmu, sebab aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tidaklah mendengarnya (suara azan) baik jin, manusia, pepohonan dan batu kecuali menjadi saksi baginya.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 124

  • Pembuka solat

    Muhammad bin Amru bin ‘Atho berkata: Aku mendengar Abu Humaid as-Sa’idiyy berkata: Adalah Rasulullah SAW apabila bangun untuk mendirikan solat, baginda menghadap kiblat dan mengangkat kedua-dua tangannya, dan baginda mengucapkan “Allahu Akbar”.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 136

  • Membaca Fatihatul Kitab

    Daripada ‘Ubadah bin as-Somit, bahawa Nabi SAW bersabda: Tiada solat bagi sesiapa tidak membaca padanya (solat) dengan Fatihatul Kitab (Al-Fatihah).

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 139

  • Pembuka bacaan

    Daripada Aisyah, dia berkata: Adalah Rasulullah SAW membuka bacaan dengan Alhamdulillahi rabbil ‘alamin.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 139

  • Ikut imam dalam solat

    Daripada Abu Hurairah, dia berkata: Adalah Rasulullah SAW mengajarkan kami agar kami tidak mendahului imam dengan rukuk dan sujud. Dan apabila dia (imam) bertakbir, maka bertakbirlah kamu, dan apabila dia sujud, maka sujudlah kamu.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 162

  • Rukuk dalam solat

    Daripada Aisyah, dia berkata: Adalah Rasulullah SAW apabila rukuk, baginda tidak mengangkat kepalanya dan tidak merendahkannya, akan tetapi antara yang demikian itu.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 146

  • Kelebihan solat Isyak, Fajar

    Daripada Aisyah dia berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sekiranya manusia mengetahui pahala yang ada pada solat Isya dan solat Fajar, nescaya mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 135

  • Sunah pada azan

    Hisyam bin Ammar berkata, telah menceritakan kepada kami Abdurrahman bin Sa’d bin Ammar bin Sa’d muazin Rasulullah SAW berkata: Telah menceritakan kepadaku bapaku, daripada bapanya, daripada datuknya berkata: Rasulullah SAW memerintahkan kepada Bilal agar meletakkan kedua jarinya pada kedua telinganya, dan bersabda: Sesungguhnya ia lebih meninggikan suara kamu.

    Daripada Sa’id bin al-Musayyab, daripada Bilal, bahawa dia mendatangi Nabi SAW untuk melakukan azan solat fajar. Maka dikatakan kepadanya: “Baginda sedang tidur”. Maka, dia (Bilal) berkata “As-solatu khairun minannaum. As-solatu khairun minannum.” (Solat lebih baik daripada tidur). Maka, ditetapkan (lafaz itu) pada azan fajar (solat Subuh) dan perkara itu tetaplah sedemikian.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 123

  • Sesiapa terlupa solat

    Daripada Anas bin Malik berkata, Nabi SAW ditanya mengenai seorang lelaki yang lalai (terlupa) atau ketiduran daripada mengerjakan solat, maka baginda berkata, dia hendaklah mengerjakannya (solat) apabia mengingatinya.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 115

  • Keutamaan bersabar apabila ditimpa musibah

    Daripada Abu Umamah, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Allah Subhanahu wa Taala berfirman, wahai anak Adam, sekiranya kamu bersabar dan ikhlas ketika ditimpa musibah, maka Aku tidak meredai bagimu pahala melainkan syurga.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 293