Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah

  • Jangan membunyikan jari ketika solat

    Yahya bin Hakim menceritakan, Abu Qutaibah menceritakan, Yunus bin Abi Ishaq dan Israil bin Yunus, daripada Abi Ishaq, daripada Al-Harits, daripada Ali, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Janganlah membunyikan jari-jemarimu sedangkan kamu dalam solat.

    Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 163.

  • Membaca Amin

    Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Apabila qari (imam) mengaminkan, maka bacalah amin oleh kamu, maka sesungguhnya malaikat membaca amin, maka sesiapa bacaan aminnya bertepatan (serentak, bersama-sama) dengan amin malaikat, diampunkan baginya dosanya yang lalu.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 145

  • Tangan kanan, tangan kiri ketika solat

    Daripada Qabisoh bin Hulb, daripada bapanya, dia berkata: Adalah Nabi SAW mengimamkan kami, baginda memegang tangan kirinya dengan tangan kanannya.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 138

  • Pembuka solat

    Muhammad bin Amru bin ‘Atho berkata: Aku mendengar Abu Humaid as-Sa’idiyy berkata: Adalah Rasulullah SAW apabila bangun untuk mendirikan solat, baginda menghadap kiblat dan mengangkat kedua-dua tangannya, dan baginda mengucapkan “Allahu Akbar”.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 136

  • Keutamaan solat berjemaah

    Telah menceritakan kepada kami Abu Bakar bin Abu Syaibah, telah menceritakan kepada kami Abu Muawiyah daripada Al-A’masy daripada Abu Soleh daripada Abu Hurairah dia berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Solat seorang lelaki dalam jemaah lebih besar pahalanya dari solat yang dia lakukan di rumah dan pasar dengan dua puluh lebih darjat.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 134

    Telah menceritakan kepada kami Abu Marwan Muhammad bin Utsman al-Utsmani , telah menceritakan kepada kami Ibrahim bin Sa’d daripada Ibnu Syihab daripada Said bin al-Musyyab daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Kelebihan (solat) berjemaah dibandingkan solat seseorang antara kamu dengan sendirian adalah dua puluh lima bahagian.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 134

  • Jauh dari masjid, lebih besar pahala

    Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Yang paling besar pahalanya adalah yang paling jauh dari masjid.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 134

  • Ganjaran bersihkan masjid

    Daripada Abu Said al-Khudri, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa mengeluarkan kotoran dari dalam masjid, maka Allah akan membuatkan baginya rumah di syurga.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 130

  • Masjid pertama dibina

    Daripada Abu Dzar al-Ghifari, dia berkata: Aku bertanya, wahai Rasulullah masjid manakah pertama dibina? Baginda menjawab: Masjidil Haram.

    Abu Dzar berkata: Aku bertanya: Kemudian, yang mana?

    Baginda menjawab: Kemudian Masjidil Aqsa.

    Aku bertanya, berapa antara kedua-duanya?

    Baginda menjawab: Empat puluh tahun. Kemudian, bumi bagimu adalah tempat solat, maka solatlah di mana pun tempatnya ketika kamu dapati (waktu) solat (telah tiba).

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 129

  • Tidur dalam masjid

    Daripada Ibnu Umar, dia berkata: Pada masa Rasulullah SAW kami biasa tidur di masjid.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 128

  • Berbangga-bangga dengan masjid

    Daripada Anas bin Malik, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Kiamat tidak akan datang hingga manusia berbangga-bangga dengan masjid.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 126